4 jangkitan tempatan, 1 kes import Covid-19

PETALING JAYA: Lima kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini yang terdiri daripada 4 jangkitan tempatan dan 1 kes import membabitkan warga asing yang dibenarkan memasuki Malaysia atas urusan kerja.

Daripada 4 kes jangkitan tempatan itu, 3 kes dicatatkan di Sarawak yang terdiri daripada 2 rakyat tempatan dan seorang warga asing di Kuching yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak selepas ujian saringan Covid-19.

Dua lagi kes di Sarawak itu membabitkan seorang kontak rapat kepada kes 8,732 yang positif Covid-19 dan seorang petugas kesihatan di sebuah pusat perubatan, manakala baki satu lagi kes ialah seorang pesakit yang disahkan positif sebelum menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Ini menjadikan keseluruhan 8,734 kes Covid-19 dicatatkan di Malaysia setakat ini dengan 86 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2 lagi pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan 8,526 kes sembuh atau 97.6% daripada semua kes positif.

Katanya, 5 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlahnya kekal pada 122 kematian.

Sementara itu, Hisham menasihatkan 1,267 mangsa yang ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di 7 daerah berlainan, susulan banjir kilat di Johor, Pahang, Selangor serta Melaka, supaya mematuhi SOP Covid-19 bagi mengelakkan penularan dalam kalangan mangsa banjir dan pekerja.

“Amalan seperti penjarakan sosial yang selamat, mencuci tangan dengan air dan sabun, etika batuk dan bersin perlu diamalkan sepanjang masa.”

Katanya, makanan perlu disediakan dengan pembungkusan individu atau bekas makanan, selain memastikan keperluan mangsa terhadap bekalan air bersih dan selamat, serta sanitasi yang baik.

“Sanitasi kawasan guna sama harus dilakukan kerap dan ruang khas perlu disediakan untuk mengasingkan mereka yang bergejala.”