Adun Slim Khusairi Talib meninggal dunia

Difahamkan, Mohd Khusairi Abdul Talib mengalami serangan jantung. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Adun Slim di Perak, Khusairi Abdul Talib, meninggal dunia hari ini.

Difahamkan, ahli Majlis Tertinggi Umno itu mengalami serangan jantung.

Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad dipetik Bernama sebagai berkata, jenazah Allahyarham berada di Hospital Bentong, Pahang.

Katanya, berdasarkan maklumat diperolehinya, Khusairi, 59, tiba-tiba rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Khusairi yang dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada September 2015, meletak jawatan kurang seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim itu memenangi kerusi DUN Slim pada PRU14 lalu dengan majoriti 2,183 undi, selepas menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Zulfadli Zainal.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengucapkan takziah kepada keluarga Khusairi.

“Pemergiannya ialah kehilangan besar kepada Perak dan penduduk Slim dan juga Umno Bahagian Tanjung Malim.

“Saya juga kehilangan seorang sahabat yang saya anggap sebagai saudara kandung sendiri.”

Speaker DUN Perak, Mohammad Zahid Abdul Khalid memberitahu FMT, Khusairi ialah seorang budiman yang bersikap adil kepada kawan dan lawannya.

“Beliau akan dirindui.”

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong sedih dengan pemergian Khusairi yang disifatkannya seorang pemimpin berpengalaman yang banyak menyumbang kepada rakyat Perak dan Tanjung Malim.

Dalam pada itu, Setiausaha Umno Bahagian Tanjung Malim, Sulong Jamil Mohamed Shariff memberitahu Bernama, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Felda Sungai Behrang pada 9 pagi esok sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Felda Sungai Behrang.

Orang ramai yang ingin menziarah boleh berbuat demikian di rumah ibu Allahyarham di Jalan Q, Felda Sungai Behrang bermula 7 pagi.

Khusairi yang merupakan Adun Slim selama 4 penggal sejak 2004, meninggalkan seorang isteri dan 7 anak.