Bekas pembantu Rosmah jumpa kami bincang ‘komisen’ projek solar, kata saksi

Rosmah Mansor didakwa menerima suapan berjuta ringgit berhubung projek solar bagi sekolah di kawasan pedalaman Sarawak.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini dalam perbicaraan rasuah Rosmah Mansor yang bekas pembantunya menemui rakan perniagaan Sarawak untuk membincangkan jumlah “komisen” bakal dibayar kepada isteri bekas perdana menteri itu, jika beliau bersetuju membantu syarikat itu mendapatkan projek solar untuk sekolah Sarawak.

Rayyan Radzwill Abdullah berkata, beliau menghadiri pertemuan itu dengan Saidi Abang Samsudin dan Rizal Mansor di sebuah restoran di sini sekitar Januari 2016.

Mereka menemui Rizal selepas Kementerian Pendidikan tidak memberikan maklum balas kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, di mana Saidi ialah pengarah urusannya, berhubung cadangan syarikat itu melaksanakan projek solar.

“Saya tidak setuju dengan cadangan Saidi menawarkan sumbangan politik melalui beliau (Rosmah) kepada Datuk Najib (Razak) untuk memenangi pilihan raya 2018.

“Tawaran itu untuk projek berkenaan,” katanya ketika disoal peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah.

Akberdin kemudian mencadangkan Rizal yang mencadangkan istilah “sumbangan politik”.

“Saidi mengangguk setuju untuk kami menggelarnya ‘sumbangan politik’,” kata Rayyan.

Katanya, “sumbangan politik” ialah istilah lebih baik berbanding “komisen”.

“Ya, jika anda mahu katakannya dalam cara yang baik.”

Terdahulu, Rayyan memberitahu mahkamah beliau menghubungi bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad pada 2018 dengan harapan beliau akan melakukan audit ke atas projek itu.

Madinah mengambil alih jawatan ketua audit negara selepas bersara daripada kementerian itu.

“Saya hantar Tan Sri tangkap layar mesej WhatsApp saya dengan Rizal berhubung wang tunai RM5 juta yang dibayar kepada Rosmah,” katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Rosmah berdepan 3 pertuduhan rasuah atas dakwaan meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.