Kajian, masalah kesuburan lelaki di Malaysia semakin meningkat

Berdasarkan data LPPKN bagi tempoh 2010 hingga 2019, kira-kira 60% ujian analisis sperma mencatatkan keputusan abnormal. (Gambar Rawpixel)

Masalah kesuburan dalam kalangan lelaki di negara ini didapati semakin meningkat dan turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin.

Perkara ini disuarakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah.

Berdasarkan data LPPKN bagi tempoh 2010 hingga 2019, kira-kira 60% ujian analisis sperma mencatatkan keputusan abnormal.

“Memandangkan 95% lelaki dapat menjalinkan hubungan seksual secara normal, mereka tidak sedar bahawa mereka mungkin mengalami masalah kesuburan,” katanya.

Abdul Shukur turut menambah satu kajian antarabangsa mendapati masalah ini semakin meningkat dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini dan isu itu membabitkan 7% populasi lelaki dunia.

“Tahap kesuburan dalam kalangan lelaki berumur kurang dari 30 tahun juga telah menurun sebanyak 15%,” katanya.

Menurutnya isu kesuburan lelaki ini secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam kalangan pasangan berkahwin berdasarkan dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia yang menunjukkan peningkatan dari 6.9% pada 2004 kepada 8.6% pada 2014.

“Angka ini dijangka mencecah 10% hingga 12%, iaitu menghampiri kadar global iaitu 10 ke 15% sekarang,” katanya, menambah senario itu suatu yang membimbangkan kerana boleh membawa kepada penguncupan generasi akan datang yang menjadi tonggak pembangunan negara pada masa depan.

Punca dan faktor yang mempengaruhi kesuburan lelaki

Antara faktor yang menyumbang kepada isu kesuburan lelaki ialah masalah psikoseksual seperti kurang nafsu seks keabnormalan penghasilan dan fungsi sperma akibat defek genetik, penyakit kencing manis, jangkitan seperti mumps (beguk), masalah varikosel (salur darah berpintal), mati pucuk, ejakulasi pramatang, ejakulasi ke dalam pundi kencing, sekatan pada testis, kerosakan organ reproduktif.

“Masalah kesuburan ini juga boleh disebabkan oleh faktor persekitaran iaitu pendedahan berlebihan kepada bahan kimia, radiasi, suhu panas, asap tembakau, kafein, dadah rekreasi selain kerosakan pada testis akibat kanser atau rawatannya,” kata Abdul Shukur.

Rawatan kesuburan lelaki di LPPKN

Mengenai rawatan, beliau berkata LPPKN akan memberikan kaunseling kepada suami yang mengalami masalah seksual selain disaran mengambil ubat dan makanan tambahan tertentu jika perlu.

Bagi lelaki yang menghadapi masalah sperma abnormal, mereka akan dirawat dengan ubat-ubatan terlebih dahulu dan jika gagal akan dirawat menerusi Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) iaitu kaedah Teknologi Bantuan Konsepsi (ART) atau Rawatan Bayi Tabung Uji.

Abdul Shukur berkata data LPPKN dari 2010 hingga 2019 menunjukkan 75% klien menjalani rawatan ART dengan 80% daripadanya merekodkan persenyawaan.

Pada masa sama, kerjasama dalam kalangan suami bagi pasangan yang mendapatkan perkhidmatan di klinik LPPKN adalah sangat baik, iaitu 100% hadir bersama pasangan dan menjalani rawatan seperti yang disyaratkan oleh lembaga itu.

“Ini menunjukkan persepsi kaum lelaki tentang masalah kesuburan semakin berubah dan kesedaran mereka dalam hal ini semakin meningkat,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]