Pemuda BN mahu tubuh pasukan petugas jana ekonomi belia pasca Covid-19

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR: Sayap Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan pasukan petugas untuk memberikan cadangan kepada kerajaan mengenai bagaimana meningkatkan ciptaan pekerjaan untuk belia.

Susulan menyaksikan kenaikan kadar pengangguran akibat pandemik Covid-19, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif itu akan merangkumi skim jaminan pekerjaan bagi golongan belia.

“Pasukan petugas akan memberikan saranan kepada kerajaan untuk Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12,” tambahnya.

“Kami akan bergerak ke seluruh Malaysia bermula minggu depan untuk bertemu dengan pelbagai kelompok anak muda, NGO, persatuan belia bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka dan juga untuk kita memperincikan lagi apa juga cadangan yang kita fikirkan perlu dalam kerangka untuk memperkasakan ekonomi anak muda pasca Covid-19.

“Ini penting kerana hari ini Pemuda BN bukan lagi sebagai pemuda pembangkang tetapi kita ada sebahagian daripada kerajaan. Peranan kami sudah tentu mesti diadaptasi dengan senario semasa sebagai penghubung antara rakyat, khususnya anak muda, dengan pihak kerajaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN.

Turut hadir pemimpin Pemuda BN termasuk Nicole Wong Siaw Ting dari MCA, R Thinalan dari MIC, dan Edwin Laimin dari Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Mengulas situasi rakyat bosan dengan isu bangsa dan agama digunakan untuk memecah belahkan negara, Asyraf berkata, para pemimpin belia dan perwakilan dari keempat-empat parti akan bekerjasama untuk mempromosikan agenda mengembalikan “nilai-nilai Malaysia yang asal” dari aspek toleransi dan penghormatan dari masyarakat pelbagai kaum.

Menyalahkan pemerintahan Pakatan Harapan sebelum ini yang menimbulkan ketegangan perkauman, beliau berkata rakyat “tidak menafikan” nilai-nilai yang berjaya dibangunkan BN selama 61 tahun yang memberi kebaikan kepada sosioekonomi.

“BN selama 61 tahun memerintah selama ini telah membuktikan model itu adalah antara model yang terbaik dengan penambahbaikan atas segala kelompongan, kelemahan yang ada.

“Tetapi, itu tidak bermakna kita menafikan model Malaysia yang kita berjaya bangunkan selama ini yang menjadi asas kekuatan negara baik dari segi politik, ekonomi mahupun sosial yang terdiri daripada kepelbagaian agama dan juga bangsa,” katanya.