Rakyat Israel desak Netanyahu letak jawatan kerana gagal tangani Covid-19

Penunjuk perasaan tidak menghiraukan penjarakan sosial ketika menyertai protes di luar kediaman Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis semalam. (Gambar AP)

BAITULMAQDIS: Ribuan rakyat Israel mengadakan protes di depan kediaman Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di sini pada Selasa bagi mendesak beliau meletak jawatan, susulan kegagalan kerajaan menangani penularan Covid-19.

Seorang penganjur protes itu, Amir Haskel menggesa orang ramai berkumpul pada 14 Julai sempena “ulang tahun ke-231 revolusi Perancis” untuk “menuntut kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan”.

Polis dikerah ke lokasi bantahan.

Ramai penunjuk perasaan memakai topeng, tetapi tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Virus paling maut bukan Covid-19, tetapi rasuah,” kata penunjuk perasaan, Laurent Cige dari Tel Aviv.

Netanyahu didakwa Januari lalu atas dakwaan rasuah, penipuan dan pecah amanah.

Netanyahu, yang membentuk kerajaan perpaduan baru Mei lalu selepas lebih setahun berdepan pergolakan politik, bertegas dakwaan itu bertujuan menggulingkannya.

Tarikh perbicaraan berikutnya di Mahkamah Daerah Baitulmaqdis ialah 19 Julai ini.

Berdasarkan undang-undang Israel, perdana menteri hanya perlu meletak jawatan jika disabitkan satu kesalahan jenayah dengan semua rayuan gagal, di mana bagi kes Netanyahu, ia mungkin memakan masa bertahun-tahun.

Penunjuk perasaan mengkritik cara kerajaan menangani pandemik Covid-19 kerana lebih 1,400 kes baru dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Israel bagaimanapun dipuji atas tindak balas awalnya terhadap pandemik itu, tetapi rakyat mula mengkritik kerajaan berikutan lonjakan kes selepas perintah berkurung dilonggarkan.

Ribuan penduduk turut melancarkan demonstrasi di Tel Aviv Sabtu lalu untuk menyuarakan kekecewaan terhadap Netanyahu dan dasar ekonominya.

Negara yang memiliki 9 juta penduduk itu mencatatkan 42,813 kes Covid-19 dengan 375 kematian setakat hari ini.

Kerajaan menarik balik sebahagian larangan pada hujung Mei, namun mengumumkan beberapa sekatan baru, termasuk penutupan bar, kelab malam dan gimnasium.

kadar pengangguran di Israel melonjak daripada 3.4% pada Februari kepada 27% pada April, sebelum merosot sedikit kepada 23.5% Mei lalu.