SPRM tahan suami isteri didakwa palsukan kontrak kantin sekolah RM100,000

Pasangan suami isteri berusia 30-an itu ditahan pegawai SPRM kira-kira 10.30 pagi tadi.

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan memalsukan butiran peribadi mereka untuk mendapatkan tender kantin sekolah di Tawau yang bernilai RM100,000.

Pasangan berusia 30-an itu ditahan pegawai agensi anti-rasuah itu kira-kira 10.30 pagi tadi.

Difahamkan, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu ketika memberi butiran mereka kepada Jabatan Pendidikan daerah pada 2017.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan mereka akan didakwa di bawah Akta SPRM serta Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Tawau esok.

Sementara itu, SPRM hari ini turut menahan seorang penjawat awam berusia 54 tahun di Tawau kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya RM16,000 daripada dana untuk menyelenggara kuarters kerajaan.

Suspek itu bekerja sebagai pembantu tadbir kewangan.