Pelajar kolej campak bayi dari tingkat 13 dituduh membunuh

Majistret Nur Fadrina Zulkhairi meninggalkan Wad Bersalin, Hospital Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN: Seorang pelajar kolej hari ini dituduh membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan, Jumaat lalu, di rumah keluarganya di Air Itam, di sini.

Pertuduhan terhadap M Santhiea, 18, dilakukan di Wad Bersalin, Hospital Pulau Pinang berikutan remaja itu masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Nurfadrina Zulkhairi.

Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru, Ayer Itam, di sini, pada jam 8.25 pagi, 10 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan kes dikendalikan timbalan pendakwa raya, Yazid Mustaqim Roslan dan tertuduh diwakili peguam R S N Rayer.

Sementara itu, Yazid Mustaqim, ketika ditemui pemberita selepas prosiding selesai, memaklumkan barisan pembelaan yang diketuai oleh Rayer mengemukakan permohonan untuk tertuduh dibebaskan dengan jaminan.

“Pihak peguam memohon untuk urusan ikat jamin bagi anak guamnya dengan mengguna pakai (merujuk) kes Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Samirah Muzaffar yang menghadapi pertuduhan membunuh suaminya, iaitu ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) dibebaskan dengan jaminan.

“Pihak pendakwaan berhujah bahawa Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan jamin bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan tersebut (jaminan),” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Rayer berkata, permohonan untuk membebaskan anak guamnya dengan jaminan adalah kerana tertuduh masih lemah dan memerlukan rawatan di hospital.