Rujuk JK pengurusan bencana sebelum buat kenyataan Covid-19, Uggah beritahu agensi

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri Douglas Uggah Embas berkata, seseorang hanya dianggap sebagai pesakit dalam penyiasatan (PUI) jika beliau mempunyai hubungan rapat dengan kes positif.

KUCHING: Jawatankuasa pengurusan bencana Sarawak menggesa semua agensi kerajaan dan swasta supaya merujuk kepada jawatankuasa itu sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi mengenai Covid-19.

Pengerusinya Douglas Uggah Embas berkata demikian pada sidang media hari ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

Selain itu, beliau turut menjelaskan berhubung laporan bahawa 16 pesakit dalam penyiasatan (PUI) direkodkan di Miri hari ini.

Terdahulu hari ini, Datuk Bandar Miri Adam Yii menggesa supaya tindakan susulan diambil segera berikutan peningkatan mendadak kes PUI di di daerah itu dalam tempoh 24 jam.

“Angka mengejut kes baru PUI ini tinggi. Ia perkembangan yang membimbangkan. Saya akan arahkan pasukan penguatkuasaan supaya bekerjasama dengan polis dan Jabatan Kesihatan untuk pergi ke lapangan dan menguatkuasakan peraturan penjarakan sosial tanpa berlengah.

“Majlis bandaraya juga mengeluarkan arahan bertulis kepada premis makanan berhubung kewajiban pemakaian topeng dan semua langkah kebersihan penting dipatuhi,” katanya.

Uggah berkata, “apabila kes PUI direkodkan di Miri, orang ramai mengandaikan kes positif dikesan di daerah itu. Ini tidak benar.

“Mereka adalah pesakit jangkitan penafasan akut teruk (SARI) dan penyakit seperti influenza (ILI). Ia adalah sebahagian daripada protokol hospital untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas mereka sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Menurut Uggah, terdapat 11 pesakit SARI dan ILI di Kuching, selain 7 di Bintulu, tetapi mereka tidak dikategorikan sebagai kes PUI.

“Justeru, saya menggesa pihak berkuasa kesihatan di Miri supaya mengikuti definisi PUI di Kuching dan Bintulu,” katanya.

Individu hanya dikategorikan sebagai PUI sekiranya ia merupakan kontak rapat kes positif Covid-19, katanya.

Dalam perkembangan sama, Uggah berkata, pihak bekuasa menjalankan pengesanan rambang kontak di beberapa tempat berikutan kes kematian terbaru akibat Covid-19 pada 11 julai lepas.

“Sebanyak 217 saringan dijalankan di pasar komuniti Stutong dan 2 individu didapati menunjukkan simptom virus berkenaan. 56 sampel diambil dari kawasan itu.

“Saringan juga akan dijalankan di pasar segar Green Road esok serta pasar utama di bandar berkenaan dalam tempoh 2 minggu ini,” katanya.

Terdahulu katanya, Sarawak merekodkan kes jangkitan tempatan melibatkan seorang warga asing di Kuching, menjadikan jumlah kes positif di negeri itu meningkat kepada 584.

Pesakit berkenaan, seorang pekerja di sebuah syarikat perikanan di Kuching menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah hospital swasta pada 15 Julai dan disahkan positif pada hari yang sama, katanya.

“Pesakit itu, yang tidak bergejala, dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya dengan menambah bahawa pesakit berkenaan tidak mempunyai sejarah perjalanan.

“Pihak berkuasa kini menjalankan pengesanan kontak dalam kalangan rakan sekerjanya,” kata beliau.