SPRM banteras sindiket babit Kementerian Kewangan

Sindiket yang mula beroperasi pada 2017 dikatakan mengutip beribu-ribu ringgit daripada syarikat di Lembah Klang.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras sindiket melibatkan kelulusan permohonan bagi mendaftarkan akaun baru dengan Kementerian Kewangan dan permohonan status Bumiputera syarikat di Lembah Klang.

Sumber memberitahu FMT, 8 individu berumur antara 30 dan 47 tahun ditahan oleh agensi anti-rasuah itu dalam operasi di Putrajaya dan Kuala Lumpur hari ini.

Lima daripada mereka merupakan kakitangan unit pendaftaran syarikat Kementerian Kewangan.

Kesemua 8 individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Putrajaya esok untuk ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Anggota sindiket mengenakan bayaran dari RM500 ke RM3,500 untuk mempercepatkan pendaftaran akaun baru di kementerian itu dan untuk syarikat memohon status Bumiputera.

“Permohonan mereka akan diluluskan dalam tempoh 24 jam tanpa perlu mengikut prosedur,” kata sumber kepada FMT.

SPRM menjalankan pemantauan selama 6 bulan sebelum mendedahkan sindiket tersebut yang dipercayai mula beroperasi pada 2017 dengan mengutip beribu-ribu ringgit daripada syarikat di Lembah Klang.

Ketika dihubungi, timbalan pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen (16)(a) Akta SPRM 2009,” katanya.