SPRM panggil Syed Saddiq sekali lagi

Wang tunai sebanyak RM250,000 dilaporkan hilang di rumah bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Syed Abdul pada Mac lepas.

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan agensi itu dipercayai berkait kes kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 dari rumah bekas menteri itu.

Dalam hantaran di Twitter, Syed Saddiq berkata, beliau terpaksa meninggalkan persidangan Parlimen lebih awal hari ini kerana dipanggil oleh agensi tersebut bagi membantu siasatan.

“Saya sedia dan sentiasa berikan kerjasama penuh kepada SPRM. Saya, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga saya juga telah lama isytihar harta untuk jamin ketelusan kami semua.

“Saya sentiasa berlaku jujur dan berani kerana benar,” katanya.

SPRM merampas wang tunai sebanyak RM600,000 dari rumah 2 ahli Pemuda PPBM pada Jun dan berkata, wang itu dipercayai diselewengkan daripada dana parti itu.

Pengarah siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali berkata, kenyataan diambil daripada 2 lelaki pada 5 Jun berhubung kehilangan wang sebanyak RM250,000 dari rumah Syed Saddiq.

Syed Saddiq juga diarahkan mengisytiharkan aset susulan siasatan SPRM yang dibuat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM berkaitan suapan dan rasuah.

SPRM melancarkan siasatan berikutan aduan berhubung kehilangan wang tunai tersebut.

Syed Saddiq membuat laporan polis mengenainya pada Mac.

Beliau berkata, wang berkenaan disimpan di dalam peti besi di rumahnya dan hanya beberapa orang mengetahui nombor kombinasinya.