
PETALING JAYA: Seorang pakar pendidikan menyokong Kementerian Pendidikan tidak memperkenalkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kerajaan.
Zuwati Hasim dari Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi Universiti Malaya berkata kajian pada 2006 mendapati PPSMI, yang diperkenalkan pada 2003, tidak menghasilkan peningkatan yang signifikan dalam penguasaan pelajar bagi Sains, Matematik atau Bahasa Inggeris.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin semalam memaklumkan Dewan Rakyat, kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula dasar dirancang pentadbiran lepas yang dihentikan pada 2012.
Zuwati, yang juga salah seorang ahli penyelidik kajian seluruh negara itu berkata, program dwibahasa (DLP) sekarang lebih baik daripada PPSMI kerana pelajar boleh memilih bahasa pilihan mereka.
DLP diperkenalkan pada 2016. Ia membolehkan sekolah memilih bahasa pengajaran yang digunakan untuk pelajaran Sains dan Matematik.
“Sehingga satu tahap, keupayaan belajar bagi setiap pelajar adalah berbeza,” kata Zuwati kepada FMT.
“Oleh itu, kita tidak seharusnya melaksanakan satu dasar untuk semua.
“Ramai akan belajar bahasa tambahan hanya jika mereka melihat itu sebagai keperluan dan jika mereka berminat untuk belajar bahasa itu. Ia tidak perlu dikenakan.”
Mengulas perdebatan ia lebih efisien untuk mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris berikutan lebih banyak bahan pelajaran diterbitkan dalam bahasa itu, beliau berkata pelajar yang memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang saintifik atau matematik boleh mengambil Bahasa Inggeris untuk Tujuan Tertentu (English for Specific Purposes) bermula pada pengajian tinggi.
Merujuk kepada kajian 2006, beliau berkata ia menunjukkan PPSMI menyebabkan jurang yang luas antara murid luar bandar dan bandar kerana ia tidak mengambil kira faktor kekurangan akses internet di sekolah luar bandar.
Katanya, ia diperlukan berikutan penggunaan SchoolNet dan BestariNet sebagai pelantar pembelajaran.
Beliau juga berkata ramai guru Sains dan Matematik tidak dipersiapkan untuk dasar PPSMI kerana mereka dilatih dalam Bahasa Melayu.