Tidak perlu rosakkan reputasi saya, kata bekas CEO PNB

Bekas CEO PNB Abdul Jalil Rasheed berkata, majikan terdahulu tidak mempunyai masalah dengan ijazahnya. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) Abdul Jalil Rasheed mempertahankan kelayakan akademiknya dengan mendakwa semua bekas majikannya sebelum ini tidak mempunyai masalah dengan ijazahnya.

Jalil yang meletakkan jawatan pada 15 Jun lalu selepas 9 bulan menjawatnya, sekali lagi mempersoalkan perbuatan pihak tertentu mensensasikan isu itu dan cuba merosakkan reputasinya.

Beliau juga mengesahkan merupakan pelajar eksternal Universiti London (UoL).

Semalam, Dewan Rakyat diberitahu bahawa London School of Economics and Political Science (LSE) mengesahkan Jalil bukan lulusannya.

Terdahulu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkata, ia menerima pengesahan mengenai percanggahan mengenai kelayakan akademik dan pengalaman kerja Jalil.

“Dalam setiap pekerjaan, pemeriksaan latar belakang dijalankan oleh pihak ketiga dan pemeriksaan lanjut dengan majikan terdahulu. Tidak pernah jadi masalah, sehinggalah ini. Ijazah saya diserahkan kepada setiap majikan, jadi mereka tahu.

“Pemeriksaan yang tepat akan menunjukkan mengapa ia (diberikan di bawah) UoL/LSE kerana cara kuliah diatur di bawah universiti,” kata Jalil melalui Twitter.

Jalil turut mendakwa terdapat e-mel daripada universiti mengesahkan perkara itu.

Beliau sekali lagi menjelaskan bahawa beliau mengundurkan diri kerana tidak berpuas hati dengan “arah” syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

“Jika seseorang tidak menyukai saya, boleh saja memberitahu saya (tidak ada yang melakukannya), dan saya akan mengundurkan diri. Mudah. Tidak perlu semua ini,” katanya.

Sebelum ini, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM Abdul Kadir Jasin berkata, Jalil dipaksa berundur kerana didakwa terdapat percanggahan dalam kelayakan akademiknya.

Menurut Kadir, Jalil menggali “daki” yang ditinggalkan pegawai tinggi PNB sebelumnya yang dilantik Barisan Nasional.