
PETALING JAYA: Dua kumpulan aktivis kecewa dengan keputusan Putrajaya tidak memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dasar yang pernah kerajaan terdahulu cadang laksanakan kembali.
Mak Chee Kin yang mengetuai Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), berkata alasan yang diberikan tidak kukuh.
Beliau tidak setuju ia akan merugikan pelajar di kawasan pedalaman atau guru tidak bersedia untuknya.
“Kita perlu memberi peluang kepada anak-anak belajar subjek dalam bahasa Inggeris melalui pendedahan. Kita mempunyai ramai menteri yang datang dari kawasan luar bandar, tetapi dapat berbahasa Inggeris dengan baik,” katanya kepada FMT.
Dari segi kesiapsiagaan guru, katanya, kerajaan boleh menyediakan insentif dan latihan bagi membina kecekapan mereka.
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) menerusi kenyataan yang dihantar kepada FMT, mendakwa dasar pendidikan itu diketepikan atas motivasi politik dan kanak-kanak yang perlu menanggung akibatnya.
Kataya, kerajaan sepatutnya meneruskan “dasar pendidikan berkemajuan baik untuk masa depan anak-anak kita”.
Khamis lalu, Menteri Pendidikan, Radzi Jidin memberitahu Dewan Rakyat kerajaan tiada rancangan menghidupkan semula PPSMI yang diperkenalkan pada 2003, tetapi dihentikan 10 tahun kemudian.
Pada 2018, Putrajaya memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP), tetapi Julai tahun lalu, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula PPSMI yang membawa kepada bantahan kumpulan pendesak Melayu dan kesatuan guru.
Magpie dan PAGE berkata, DLP perlu diteruskan dan PAGE menggesa ia diperlukan ke lebih banyak sekolah kerana ia patut memanfaatkan seramai mungkin pelajar.
Tetapi, Mak berkata, kumpulannya juga berharap PPSMI akan diperkenalkan semula.
“Apabila kita bercakap mengenai sains dan matematik, kebanyakan sumbernya dalam bahasa Inggeris.
“Lebih baik mendedahkan pembelajaran bahasa Inggeris kepada anak-anak pada usia muda. Jika tidak, mereka akan bergelut untuk menyesuaikan diri apabila melanjutkan pelajaran mereka.”