Lebih 23 mayat ditemui dalam kubur besar di Mexico

Pakar forensik memulakan kerja di sebuah kubur yang menyaksikan beg berisi saki baki tubuh manusia ditemui di Guadalajara, Mexico tahun lepas. (Gambar AFP)

GUADALAJARA: Sekurang-kurangnya 23 mayat manusia ditemui di sebuah kubur tersembunyi berhampiran pangkalan polis di pinggir bandar raya Guadalajara di barat Mexico, kata pihak berkuasa tempatan pada Jumaat.

“Pegawai yang ditugaskan ke lokasi menemui 23 mayat berserta 4 beg dengan pelbagai barang bukti. Tiga daripada mayat tersebut telah dikenal pasti,” kata pejabat pendakwa negeri Jalisco dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata, kubur besar tersebut ditemui pada Isnin.

Keluarga 3 individu yang dikenal pasti setakat ini telah dimaklumkan, kata kenyataan itu lagi.

Kubur tersebut ditemui di antara 2 hartanah kediaman dan terletak 3 blok dari balai polis El Salto, di pinggir Guadalajara, ibu negeri Jalisco.

“Ia terletak antara 2 rumah yang didiami. Kita harus bertanya, kenapakah mereka tidak membuat apa-apa laporan,” kata Guadalupe Aguilar, penyalaras persatuan Fundej yang mengesan orang hilang di negara itu dan memantau kerja-kerja penggalian yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Penyiasat menemui bukti bahawa perbuatan jenayah “berkaitan kehilangan orang” dilakukan di hartanah berkenaan, kata kenyataan itu.

Pada 2 Julai, penyiasat menamatkan kerja di sebuah kubur lain di bandar Tlaquepaque yang berdekatan. Mereka menemui 86 beg berisi saki baki tubuh manusia.

Sepuluh hari lepas, pihak berkuasa memulakan semula kerja di sebuah tapak pengebumian lain di bandar Tlajomulco, juga di pinggir bandar raya itu.

Pada Januari lepas, mereka menemui 500 beg berisi sisa tubuh dianggarkan 48 orang.

Kerja-kerja penggalian ditangguhkan pada Mac berikutan penularan wabak Covid-19.

Sejumlah besar mayat ditemui di negeri itu susulan perang kawasan antara kumpulan penyeludup dadah yang dikenali sebagai kartel Generasi Baru Jalisco dengan kumpulan pesaing, selain perbalahan dalaman kumpulan itu sendiri.

Pada Isnin kerajaan Mexico berkata, terdapat 73,201 orang hilang di negara itu. Kebanyakan mereka tidak dapat dikesan sejak negara itu melancarkan ofensif besar-besaran terhadap kartel dadah pada 2006.

6,625 mayat ditemui di tempat pengebumian tersembunyi setakat ini.