Lanjut moratorium pinjaman 6 bulan lagi, kata persekutuan pekilang

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia berkata, banyak perniagaan, terutama yang terbabit dalam produk dan perkhidmatan bukan perlu, hanya memulakan operasi selepas PKPP dilaksanakan pada 10 Jun lalu.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) memohon moratorium pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang akan berakhir pada September ini dilanjutkan 6 bulan lagi.

Dalam kenyataan hari ini persatuan itu berkata, ia akan memberikan ruang yang sangat diperlukan, sekali gus meringankan beban aliran tunai yang ketika ini dialami oleh PKS dan individu.

Presidennya Soh Thian Lai berkata, dengan melanjutkan tempoh moratorium itu, ia boleh menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang kini kurang mampu dari segi ekonomi, terutama syarikat yang bergelut untuk mempertahankan perniagaan masing-masing serta pekerja yang diberhentikan dan kehilangan sumber pendapatan.

“Pada masa sama, bagi memastikan ekonomi boleh pulih dengan cepat, moratorium yang dilanjutkan tempoh itu akan membolehkan PKS memanfaatkan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan di bawah pelan jana semula ekonomi jangka pendek (Penjana), tanpa membebankan perniagaan dengan kos membayar hutang atau pembiayaan.

“Ia juga secara tidak langsung mampu mengurangkan kos kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, banyak perniagaan, terutama yang terbabit dalam produk dan perkhidmatan tidak penting, hanya memulakan operasi selepas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilaksanakan pada 10 Jun lalu.

Katanya, syarikat pembuatan yang menyokong industri pembinaan dan hospitaliti juga terus merasai impaknya memandangkan sektor ini hanya boleh menyambung semula operasi selepas syarat tambahan dan langkah berjaga-jaga serta prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan.

“Sektor dan perniagaan ini memerlukan masa lebih lama untuk menangani kemusnahan Covid-19 dan impak ke atas perniagaan mereka,” katanya.

Soh menegaskan bahawa Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) memberikan kesan signifikan kepada kedua-dua perdagangan domestik dan eksport, iaitu dari pemberhentian sepenuhnya kepada pengurangan secara ketara aktiviti perniagaan yang menyaksikan cabaran sengit ke atas aliran modal dan tunai untuk syarikat ini dan pekerjaan bagi pekerja mereka.

Beliau turut menyifatkan program subsidi upah (WSP) sehingga 6 Julai lalu, yang memanfaatkan 310,622 majikan dan membabitkan 2.48 juta pekerja adalah petunjuk bahawa syarikat tidak mampu mempertahankan perniagaan dan perlu mendapat bantuan daripada kerajaan.

Program WSP yang dilanjutkan selama 6 bulan dan berkemungkinan berakhir pada September.

Ini bertepatan dengan tempoh tamatnya moratorium pinjaman dan dibimbangi akan memberi masalah berganda ke atas perniagaan, sekali gus menjejaskan daya mampan dan inisiatif untuk memulihkan perniagaan mereka.