2 lagi kluster baru Covid-19 dikesan

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 4 daripada 24 kru kapal dalam kluster Hyde Park itu disahkan positif Covid-19, manakala 20 lagi negatif virus itu.

PETALING JAYA: Dua kluster baru Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan (KKM), menjadikan keseluruhan 21 kluster aktif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 2 kluster baru itu dikenali sebagai kluster Hyde Park dan pesakit dalam siasatan (PUI) Melbourne.

Katanya, kluster Hyde Park dikesan di sebuah kapal yang berlabuh di Pelabuhan Klang dengan kes indeks (kes ke-8,769) ialah seorang kru kapal warga Rusia.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir dan India.

“Kluster ini dikenal pasti susulan saringan Covid-19 yang dijalani kru kapal tersebut sebelum pulang ke negara asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 4 daripada 24 kru yang disaring setakat 12 tengah hari tadi disahkan positif, manakala 20 lagi negatif virus itu.

Katanya, semua kes positif itu ialah warga asing yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, manakala mereka yang negatif dikuarantin atas kapal terbabit.

“Oleh itu, kluster ini tiada risiko penularan kepada masyarakat kerana ia adalah kluster import yang diasingkan di dalam kapal.”

Hisham berkata, kes indeks bagi kluster kedua PUI Melbourne membabitkan seorang pelajar warganegara Malaysia yang kembali dari Australia pada 15 Julai lalu.

“Beliau menaiki 2 pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari KL ke Kuching.

“Dari pintu masuk umum Kuching, beliau seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan Covid-19 didapati positif pada 17 Julai.”

Katanya, pelajar itu tidak bergejala dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Susulan itu, KKM menjalankan pengesanan kes aktif dan mendapati satu lagi kes positif yang turut menaiki pesawat dari KL ke Kuching bersama pelajar itu.

Beliau berkata, KKM sedang menunggu hasil ujian saringan ke atas 21 individu yang menjadi kontak rapat pesakit itu di atas pesawat dan pengangkutan awam.