4 sembuh berbanding 16 kes baru Covid-19

PETALING JAYA: Sebanyak 16 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu berbanding 4 pesakit yang sembuh hari ini.

Jumlah kes aktif terus meningkat daripada 130 orang semalam kepada 142 pesakit yang sedang dirawat di seluruh negara setakat ini.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikannya jumlahnya kekal 123 orang.

Setakat ini, 8,566 daripada 8,831 pesakit Covid-19 di Malaysia sudah sembuh.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 5 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 8 daripada 16 kes baru ialah kes import yang masing-masing membabitkan 4 warganegara dan warga asing.

Beliau berkata, 4 warga asing itu ialah penduduk tetap atau individu yang dibenarkan memasuki Malaysia atas urusan kerja.

“Lapan kes import itu dari India (2 kes), Rusia (2 kes), Arab Saudi (1 kes), China (1 kes), Indonesia (1 kes) dan Korea (1 kes).”

Hisham berkata, baki 8 kes jangkitan tempatan membabitkan seorang warga asing yang dikesan ketika menjalani saringan untuk berlepas ke luar negara.

Beliau berkata, pesakit itu tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk dirawat.

Katanya, 7 lagi kes membabitkan orang tempatan dari Sarawak, iaitu 3 kes kluster Stutong, satu kes kluster Sentosa, satu kes kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Melbourne, satu kes kontak rapat, iaitu ahli keluarga kepada pesakit Covid-19.

“Satu lagi kes saringan kembali bertugas di sekolah. Beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.