Bangkitkan fakta, bukannya spekulasi, speaker ulas main audio di Dewan Rakyat

Speaker Azhar Harun mengingatkan ahli Parlimen untuk hanya membangkitkan fakta di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Speaker Azhar Harun hari ini mengingatkan ahli Parlimen untuk membangkitkan fakta dan bukan spekulasi di Dewan Rakyat berikutan isu semalam di mana Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) memainkan rakaman audio yang didakwa mirip suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, Timbalan Speaker Azalina Othman Said, yang membuat keputusan melarang memainkan rakaman audio, “akur kepada fakta”.

“Saya rasa timbalan speaker pada masa itu akur kepada fakta bahawa mungkin audio tersebut bukan merupakan audio yang ‘original’ dan tidak menepati ‘best evidence rule’,” katanya, menegaskan beliau tidak mempengerusikan persidangan semalam.

RSN Rayer (PH-Jelutong), yang membangkitkan usul tersebut, berkata Ramkarpal mengatakan seorang ahli Parlimen pernah dibenarkan memainkan rakaman audio di Dewan Rakyat.

“Kami ingin mendengar rakaman tersebut,” katanya.

Azhar, yang menyaksikan sidang semalam melalui siaran langsung, berkata “tidak elok” sekiranya beliau membuat keputusan ke atas keputusan sebelum ini.

“Tak elok kalau saya membuat ‘ruling’ ke atas ‘ruling’ yang telah dibuat. Mengikut peraturan mesyuarat, kalau sesuatu ‘ruling’ itu buat, maka ia muktamad,” tambahnya.

Semalam, Azalina melarang Ramkarpal memainkan rakaman audio yang didakwa mirip suara Muhyiddin ketika membahaskan ucapan Agong di Dewan Rakyat.

Ramkarpal bertanyakan kepada wakil rakyat lain adakah suara dalam rakaman itu ialah Muhyiddin cuba menarik pemimpin Umno menyertai PPBM dengan tawaran jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan.

Wakil rakyat itu mempertahankan tindakannya, mengatakan rakaman itu sebahagian daripada ucapan perbahasannya, dan pernah dilakukan pada 2007.

Namun, Azalina mengatakan ahli Parlimen perlu mengemukakan notis sebelum memainkan rakaman, mengingatkan peguam itu bahawa beliau berada di Parlimen dan bukan di mahkamah.