Isu main audio di Parlimen, Ramkarpal berdepan tindakan tatatertib

Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) diberi masa sehingga akhir sidang hari ini untuk menunjukkan bukti audio atau video di Dewan Rakyat, selepas pemimpin DAP itu semalam mempertahankan tindakannya memainkan rakaman audio yang didakwa mirip suara Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Semalam, Ramkarpal selepas dilarang Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, mendakwa memainkan rakaman audio di Dewan Rakyat bukan perkara baru dan pernah dilakukan pada 2007.

Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan berkata Ramkarpal boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat, mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, sekiranya gagal membuktikan dakwaannya.

Beliau menambah semakan rekod Parlimen pada 2007 tidak mengesahkan dakwaan Ramkarpal itu.

“Demi keadilan dan faedah keraguan, Bukit Gelugor adalah diberi peluang untuk membuktikan dakwaan tersebut, sehingga berakhirnya sidang Parlimen hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Azalina melarang Ramkarpal memainkan rakaman audio yang didakwa mirip suara Muhyiddin ketika membahaskan ucapan Agong di Dewan Rakyat.

Ramkarpal bertanyakan kepada wakil rakyat lain adakah suara dalam rakaman itu ialah Muhyiddin cuba menarik pemimpin Umno menyertai PPBM dengan tawaran jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan.

Wakil rakyat itu mempertahankan tindakannya, mengatakan rakaman itu sebahagian daripada ucapan perbahasannya, dan pernah dilakukan pada 2007.

Tindakan Ramkarpal itu dibantah beberapa ahli Parlimen termasuk Mohamad Alamin (PN-Kimanis), Abdul Azeez Abdul Rahim (PN-Baling) dan Shahidan Kassim (PN-Arau).