Kasthuri cadang peraturan lebih tegas terhadap kenyataan seksis, rasis di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mencadangkan pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat Dewan agar tindakan lebih tegas diambil terhadap ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan seksis, rasis, atau tidak beradab di Dewan Rakyat.

Kasthuri dalam kenyataan mencadangkan 2 pindaan pada Peraturan Mesyuarat 36:

  • Ahli Dewan yang menggunakan perkataan seksis, rasis, atau yang menyinggung perasaan sehingga menyebabkan penghinaan atau kebencian terhadap ahli Dewan lain atau terhadap mana kelompok penduduk dan melanggar peraturan, secara automatik dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
  • Ahli Dewan yang melanggar peraturan dengan niat atau pengetahuan dalam siasatan akan didenda tidak kurang RM500 sebagai hukuman.

Kasthuri mencadangkan pindaan itu kerana peraturan sedia ada terlalu umum dan tidak dapat mencegah ahli Dewan Rakyat daripada melanggar peraturan.

“Sudah berkali-kali segelintir ahli Dewan membuat kenyataan menghina dan mengaibkan ahli Dewan lain dan menarik semula dengan permintaan maaf yang tidak jujur,” katanya.

Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, ketika Kasthuri berucap, berkata “gelap, tak nampak” dan “pakailah bedak”.

Keesokannya, Azeez menarik balik dan memohon maaf atas sindiran warna kulit itu.

Beliau menjelaskan tiada niat untuk memanggil sesiapa “gelap”, mengatakan beliau pernah duduk di tempat duduk Kasthuri yang menurutnya ada isu pencahayaan.