Kempen Sayangi Sawitku ditukar nama Sawit Anugerah Tuhan

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali mempromosikan nama baru kempen Sawit Anugerah Tuhan di Facebooknya.

PETALING JAYA: Kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan awal tahun lalu kini dikenali sebagai Sawit Anugerah Tuhan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penjemaan semula itu kerana nama berkenaan lebih baik.

“Berhubung dengan kempen Sayangi Sawitku, saya telah bergerak untuk mengubah kempen itu kepada yang lebih baik namanya, iaitu Sawit Anugerah Tuhan.

“Itu pendekatan saya sepanjang saya menjadi menteri,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) sama ada kempen Sayangi Sawitku akan diteruskan.

Beliau berkata, sawit itu ialah anugerah Tuhan dan bahan makanan terbaik untuk dunia.

“Di kala mana kita menceritakan kebaikan ini, maka kehendak atau lobi di peringkat Eropah yang sebenarnya menyasarkan untuk meningkatkan minyak mereka, minyak soya dan sebagainya, akan terkebelakang secara automatik.

“Di peringkat kemampanan, kita sudah ada Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang kita gerakkan dan kita jadikan kemestian untuk semua pekebun kecil.”

Kerajaan Pakatan Harapan melancarkan kempen “Sayangi Minyak Sawitku” pada 8 Jan 2019 untuk memerangi kempen anti-sawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah terhadap komoditi negara itu.

Menteri Industri Utama ketika itu, Teresa Kok dilaporkan berkata, objektif kempen itu ialah menyemai rasa bangga rakyat terhadap industri sawit negara dan meningkatkan kesedaran serta mendidik rakyat mengenai kebaikan dan khasiat minyak sawit.