‘Makcik Kiah beli Myvi, Encik Ong beli Mercedes’ gamatkan Dewan Rakyat

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila wakil blok kerajaan dan pembangkang bertelagah mengenai contoh yang digunakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, yang dituduh stereotaip kaum, ketika melaporkan data jualan kenderaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketika memperincikan insentif kerajaan bagi pembelian kereta yang dinikmati rakyat selepas pemansuhan cukai jualan kenderaan, Azmin menggunakan contoh “Makcik Kiah” beli Myvi manakala “Encik Ong” membeli Mercedes-Benz S560, menyebabkan dewan tiba-tiba riuh.

Khalid Samad (PH-Shah Alam) bangun mempersoalkan contoh seperti itu, mengatakan: “Kenapa yang Melayu beli Myvi, yang Cina beli Mercedes? Ini stereotaip perkauman.”

Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) menjawab celahan itu, mengatakan “Khalid rasis”.

Azmin mempertahankan ucapannya, mengatakan ia hanyalah sebagai contoh.

“Saya boleh tukar: satu lagi contoh sekiranya Cik Khalid membeli Mercedes-Benz…”, menyebabkan ahli Parlimen lain tertawa.

Ong Kian Ming (PH-Bangi) kemudian bangun mengatakan Azmin tidak perlu menggunakan stereotaip.

“Tak perlu la stereotaip, Cina beli Mercedez, Melayu beli Myvi, ini beri gambaran yang kurang tepat,” katanya.

Terdahulu, Ong meminta Azmin menjelaskan langkah yang sedang diambil kerajaan untuk memberikan bantuan dan insentif bersasar kepada industri automotif.