Orang ramai boleh akses maklumat harta PM, menteri kanan di laman SPRM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat perisytiharan harta anggota pentadbiran di laman khas mydeclaration.sprm.gov.my.

Katanya, sehingga kini, SPRM menerima dan memaparkan maklumat harta melibatkan 57 daripada 70 anggota pentadbiran kerajaan termasuk perdana menteri, menteri kanan, menteri, dan timbalan menteri.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak akan bertanggungjawab terhadap maklumat perisytiharan harta yang diperolehi atau diambil dari mana-mana sumber selain daripada portal berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata 97% ahli Kabinet sudah mengisytiharkan harta masing-masing, dan 5 ahli belum berbuat demikian.

Beliau meminta ahli yang belum berbuat demikian supaya segera sempurnakan pengisyiharan harta dalam tempoh masa 3 bulan.