Sharnaaz, Nabila sah cerai secara hakam namun kekalkan hubungan baik demi anak

Sharnaaz dan Nabila memutuskan cerai secara hakam dan ianya keputusan dengan hati terbuka.

Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila sah bercerai secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 9 Julai lepas.

Memetik laporan media tempatan, kakak kepada Neelofa itu sendiri mengesahkan perkara tersebut dan berkata ianya adalah keputusan dengan hati terbuka.

“Saya syukur proses ini berjalan dalam keadaan saya dan Sharnaaz dalam hubungan yang baik. Jadi kita terima dengan hati terbuka dan akur ketentuan Allah SWT.

“Kami anggap apa yang berlaku jodoh tak panjang dan tak pernah fikir jodoh kami sampai di sini saja. Lagipun mana ada orang kahwin nak bercerai.

“Kami berdua berharap boleh bekerjasama dengan baik untuk besarkan anak tunggal, Jebat Jayden. Itu yang paling penting. Jayden tak perlu terkesan dengan apa yang terjadi antara kami. Kalau kami berdua boleh uruskan dengan baik, InshaAllah. Saya akan cuba apa terbaik untuk anak saya,” katanya.

Meskipun telah bercerai, Nabila berkata dia tidak bermusuh dengan bekas suami sebaliknya selalu bertukar pendapat dan masih kekal berkawan.

Nabila juga menyifatkan Sharnaaz seorang ayah yang baik kepada anak tunggal mereka setiap kali dia datang melawat Jayden.

“Kami berkawan dan banyak berborak bertukar pendapat dengannya. Kami tak bermusuh. Ketika Sharnaaz datang jumpa anak, saya akan duduk sekali dan melayan seperti kawan.

“Saya cuba jadi ibu yang terbaik dan ingin berterima kasih kepada Sharnaaz. Saya juga masih dalam proses nak belajar apa yang terbaik untuk anak saya. Maklumlah ini anak pertama, jadi banyak yang saya tak tahu.

“Sharnaaz seorang ayah yang bagus. Hari-hari dia datang luangkan masa dengan Jayden. Itupun sudah buat saya sangat gembira. Yelah siapa lagi nak sayang anak kita betul-betul kalau bukan kami berdua,” tambahnya.

Nabila dan Sharnaaz disatukan pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel dekat Petaling Jaya dan dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal memasuki usia 2 tahun pada Ogos ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]