Suami bintang YouTube direman miliki senjata berbahaya

Suami seorang bintang YouTube dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk polis mendapatkan perintah reman ke atasnya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memiliki senjata berbahaya. (Gambar Bernama)

IPOH: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah reman 3 hari ke atas suami seorang bintang YouTube bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor terhadap lelaki berusia 29 tahun itu selepas membenarkan permohonan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan memiliki senjata berbahaya mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Lelaki itu yang tiba di mahkamah pada 10 pagi tadi dengan berbaju lokap ungu ditahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian di luar wad bersalin HRPB pada 5.54 petang semalam, anggota polis yang bertugas di pondok hospital itu menerima panggilan daripada jururawat menyatakan suspek dalam keadaan mabuk membawa sabit mencari adik iparnya kerana masalah keluarga.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara suspek dan isterinya berkaitan satu majlis di sini Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 326A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah, selain Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.