Sudah-sudahlah kaitkan Najib dan 1MDB, Tajuddin beritahu Mukhriz

Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan Mukhriz Mahathir yang beliau bukan sesiapa tanpa Umno.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman menempelak Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) kerana mengaitkan Najib Razak dengan 1MDB dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

“Saya sedih dengan sikap Yang Berhormat (YB) ni…balik-balik kisah Najib, 1MDB, macam tak ada modal lain dah.

“Ahli keluarga YB pun macam-macam cerita, buat duit berbilion-bilion, jadi ahli Lembaga pengarah beratus syarikat, masa bila buat duit banyak tu?” soal Tajuddin kepada Mukhriz.

Mukhriz menjawab: “Itu laporan yang dikeluarkan agensi luar negara.”

Tajuddin mencelah dengan berkata, itu hanya khabar angin dan laporan agensi, belum lagi dibuktikan.

Beliau turut meminta Mukhriz tidak membuat dakwaan dan biar mahkamah menentukan kes 1MDB.

“Balik-balik macam bapa dia, tak habis-habis,” katanya merujuk Dr Mahathir Moahmad yang pernah menyerang Najib.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu mencabar Mukhriz memfailkan saman di mahkamah.

“Buatlah dakwaan di mahkamah. Ahli keluarga YB, kita ada gambar jika nak sebarkan. Ini semua politik tak matang,” katanya tanpa menjelaskan lanjut.

Mukhriz meneruskan perbahasannya dengan berkata, kes 1MDB berlaku ketika pemimpin Umno memegang jawatan tinggi.

Katanya, ketika Najib menjadi presiden Umno, beliau dan beberapa pemimpin Umno lain yang mempersoalkan isu rasuah membabitkan 1MDB secara dalaman dipecat.

“Kami termasuk Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin Yassin) dipecat daripada parti atas alasan melanggar disiplin parti.”

Tajuddin kemudian bangun dan mencelah: “YB kena ingat, tanpa Umno, YB bukanlah sesiapa.”

Mukhriz kemudiannya mempersoalkan punca rasuah berlaku dalam parti yang mendakwa ia memperjuangkan kepentingan kaum, agama dan negara.

Beliau mencadangkan parti politik yang bertindak berlawanan perlembagaan sendiri patut diharamkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Katanya, jika tiada semak dan imbang dalam parti, ia menunjukkan kepimpinan dan ahlinya gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Sekarang ia berlaku lagi. Ahli politik sekali lagi dilantik mengetuai GLC dengan matlamat mendapatkan sokongan mereka,” kata Mukhriz.