Tiada kes Covid-19 di Kampung Padang Jambu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu nafi kenyataan yang tular melalui Facebook sejak semalam mengatakan terdapat seorang pesakit Covid-19 di Kampung Padang Jambu, Dungun.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata tiada kes Covid-19 dikesan di kampung berkenaan sebagaimana ditularkan.

“Bagaimanapun, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun ada menerima notifikasi terdapat seorang remaja perempuan yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) pada Ahad lepas (19 Julai).

“Remaja itu diberikan rawatan dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemantauan lanjut. Ujian PCR (polymerase chain reaction) bagi pengesanan Covid-19 telah dijalankan dan hasil keputusan yang diperoleh semalam (21 Julai) negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19.

Dr Azimi berkata semua anggota masyarakat digesa meningkatkan kawalan kendiri serta tidak berasa selesa dan alpa kerana masih terdapat risiko jangkitan Covid-19 dalam komuniti.

“Namun, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan berita dari sumber yang sahih dan betul sebelum menyebarkannya agar tidak menimbulkan kegusaran dan suasana panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.