3 anggota polis antara 10 ditahan rompak RM100,000 daripada pengurup wang di Pulau Pinang

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, 2 daripada 10 suspek merupakan warga asing. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Polis hari ini menahan sekumpulan 10 individu, termasuk 3 anggota polis dari Perak kerana merompak RM100,000 daripada seorang pengurup wang di lokasi tidak dinamakan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 9.45 malam pada 14 Julai itu, 4 lelaki memandu kereta Proton Preve dengan isyarat polis menahan sebuah kenderaan yang dipandu oleh pekerja sebuah syarikat pengurup wang dan memberitahunya supaya berpatah balik ke kedainya di Pitt Street dengan mengacukan pistol.

Lelaki berkenaan kemudiannya merampas mata wang asing bernilai RM100,000 dan meninggalkan tempat kejadian.

Penyiasat polis percaya lelaki terbabit pada mulanya menyasarkan untuk mengambil RM20 juta dari kedai tersebut, selepas mendengar pengurup wang berkenaan menyimpan wang itu dikedainya.

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, polis berjaya menahan suspek, termasuk 2 warga asing di lokasi tidak dinamakan.

Suspek berusia antara 24 hingga 44 tahun. Polis juga menemui mata wang asing sebanyak RM20,000.

Tiga kereta Proton Preve dengan isyarat polis juga dirampas bersama-sama 2 pistol perkhidmatan. Sebahagian daripada rampasan dibuat di Kg Perlis di Balik Pulau, kata Sahabudin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan percubaan untuk menyebabkan kematian atau kecederaan teruk yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Suspek dijangka didakwa esok.