50% rakyat Malaysia jalani kuarantin di rumah tidak patuh SOP, kata menteri

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula esok warganegara dan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke negara ini perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin ditetapkan.

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata laporan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 50% rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin di rumah atau kuarantin wajib tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, jumlah itu sangat besar dan disebabkan itu kerajaan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan kuarantin di rumah mulai esok bagi warganegara atau bukan warganegara yang pulang dari luar negara.

“Kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuaratin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

“Pihak polis juga diarahkan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan kompaun RM1,000 atau didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan,” katanya pada sidang media hariannya hari ini.

Selasa lalu, kerajaan mengumumkan tiada lagi orang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah bermula esok, sama ada warganegara atau warga asing.

Ismail berkata individu yang pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin di institut latihan awam (ILA) atau hotel yang ditetapkan dan kos perlu ditanggung sendiri sepenuhnya.

Sementara itu, Ismail berkata, mulai esok sesiapa yang pulang ke Malaysia dari luar negara diwajibkan menjalani prosedur kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin.

Beliau berkata, sejurus tiba di pintu masuk antarabangsa, termasuk pintu udara dan darat, rakyat Malaysia akan dikenakan ujian saringan (swab test) dan terus dihantar ke stesen kuarantin yang ditetapkan.

“Begitu juga bagi mereka yang tiba di lapangan terbang Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan melalui darat seperti melepasi tambak Johor, dari Singapura ke Johor akan dikuarantin wajib di stesen kuarantin yang ditetapkan,” katanya.

Ismail berkata, disebabkan mereka kini dikenakan kuarantin wajib, maka mereka tidak perlu lagi membuat ujian swab sebelum kepulangan mereka ke tanah air seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia masih tertakluk kepada peraturan di negara tempat mereka berlepas.

“Kalau negara tersebut mengarahkan mereka membuat ujian swab, mereka kena buat ujian swab. Ia juga bergantung kepada syarikat penerbangan yang membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Kalau syarikat penerbangan mewajibkan mereka menjalankan ujian swab dulu, maka perlu mematuhi peraturan ditetapkan. Ini kerana mungkin syarikat penerbangan tidak benarkan mereka pulang menaiki penerbangan tersebut,” katanya.

Kos ujian swab

Ismail berkata, mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos ujian saringan, termasuk kos harian kuarantin di stesen kuarantin, sama ada di ILA atau hotel.

Katanya, kerajaan juga mengambil keputusan untuk membenarkan anak yang berumur 12 tahun ke bawah untuk berkongsi bilik dengan ibu bapa yang pulang dari tempat yang sama.

“Mereka yang ingin berkongsi bilik perlu menandatangai surat persetujuan terlebih dahulu. Ini supaya mereka faham akan risiko jangkitan sekiranya berbuat demikian.

“Bagi pelajar tajaan, penaja diminta membayar kos kuarantin pelajar yang terlibat. Bagi pelajar dari keluarga B-40 pula, mereka boleh memohon pengecualian bayaran.

“Orang Kurang Upaya juga dikecualikan daripada bayaran kos kuarantin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, setakat ini belum ada keputusan untuk mengehadkan bilangan pengunjung di dalam rumah ketika sambutan raya Aidil Adha.

Beliau berkata, jika ada nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan kes Covid-19 meningkat mendadak, kerajaan boleh mengubah keputusan sebelum ini.

“Setakat ini OK lagi,” katanya.

Ismail juga berkat,a kerajaan juga belum membenarkan pembukaan pintu sempadan dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi Singapura persetujuan telah dicapai bagi mereka yang terlibat dengan perniagaan boleh datang ke Malaysia dan sebaliknya ke Singapura juga dibolehkan.

“Tetapi dengan mematuhi SOP seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.