8 pesakit sembuh, 9 kes baru Covid-19 hari ini

PUTRAJAYA: Sembilan kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini berbanding 16 kes dicatatkan semalam, manakala 8 pesakit di sahkan sembuh.

Jumlah kematian kekal 123 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataannya, 5 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 2 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,840 kes Covid-19 dengan 8,574 daripadanya sembuh.

Ketika ini, 143 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 9 kes baru hari ini, 3 adalah kes import dari luar negara dan 6 penularan dalam negara.

Katanya, 3 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 1 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara yang mempunyai keluarga yang menetap di negara ini atau dibenarkan masuk atas urusan kerja.

“Tiga kes import tersebut adalah dari negara Singapura (1 kes), India (1 kes) dan Filipina (1 kes),” katanya.

Noor Hisham berkata, daripada 6 kes penularan dalam negara, 4 kes adalah dalam kalangan warganegara tempatan, manakala 2 kes melibatkan bukan warganegara.

“Kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara melibatkan 2 kes adalah 1 di Sabah merupakan kes saringan sebelum dibebaskan dari penjara.

“Satu kes di Kelantan merupakan saringan tahanan di penjara sebelum dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI),” katanya.

Noor Hisham berkata, bagi kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia pula adalah di Sarawak melibatkan 4 kes, iaitu daripada kluster Stutong, kluster Sentosa, kluster Kejuruteraan Kuching.

“Satu kes masih dalam siasatan. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak,” katanya.