Boeing 747 Qantas rakam ucapan selamat tinggal penuh bergaya dengan formasi kangaru

Laluan terakhir pesawat Boeing 747, QF7474 yang membentuk formasi kangaroo sebagai ucapan selamat tinggal. (Gambar Flight Radar)

Selepas 50 tahun, syarikat penerbangan utama Australia, Qantas mengucapkan selamat tinggal kepada pesawat Boeing 747.

Ia dilakukan penuh bergaya apabila pesawat QF7474 melakukan penerbangan terakhir bagi syarikat berkenaan itu.

Sebagai simbolik, pesawat itu terbang dengan menempuh laluan yang membentuk formasi kangaru sebaik berlepas dari Australia untuk ke Amerika Syarikat.

“Pesawat ini mempunyai tempat istimewa dalam sejarah penerbangan dan saya fikir ramai orang, termasuk saya akan merindukannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qantas, Alan Joyce.

Boeing 747 akan digantikan dengan pesawat yang lebih jimat minyak dan mampu terbang lebih jauh seperti 787 Dreamliner dan Airbus A350.

Awalnya, pesawat itu dijadualkan masih digunakan sehingga akhir tahun ini, namun Qantas menamatkan penggunaannya lebih awal berikutan pandemik Covid-19.

British Airways sebelum ini sudah menamatkan penggunaan pesawat Boeing 747 awal bulan ini, 4 tahun sebelum tarikh akhirnya, atas alasan sama.

Dalam pada itu, orang ramai dilihat berkumpul di Lapangan Terbang Sydney untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penerbangan terakhir pesawat Boeing 747 berkenaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]