Hantar segera PATI, tak perlu simpan di depot tahanan, kata wakil rakyat PH

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang hari ini mengesyorkan kerajaan segera menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan, bagi mengurangkan kos pengurusan tahanan.

M Karupaiya (PH-Padang Serai) berkata, setiap bulan kerajaan membelanjakan kira-kira RM3.5 juta sebulan atau RM42 juta setahun untuk menampung kos makanan tahanan di semua 14 depot imigresen.

“Daripada jumlah itu, kos bagi setiap tahanan adalah RM12 sehari. Ini semua duit rakyat. Kita semua kena fikir cara yang efektif untuk selesaikan masalah PATI.

“Jadi saya cadangkan supaya PATI ini dihantar terus ke negara asal dan tidak perlu ditahan di depot tahanan kerana ia membabitkan sejumlah wang rakyat yang banyak. Duit rakyat ini perlu digerakkan terus untuk kebajikan rakyat,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut mendesak Putrajaya segera menyelesaikan isu sijil kelahiran kerana sudah berlarutan sejak era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“BN sudah perintah 60 tahun tetapi kenapa isu sijil kelahiran ini masih tak selesai.”

Beliau juga mahu kerajaan mengenakan tindakan kepada ibu bapa yang gagal daftarkan anak dalam tempoh 3 tahun selepas kelahiran.

Pada persidangan Dewan Rakyat sesi pagi tadi, wakil rakyat dari Sarawak turut membangkitkan kesulitan yang dihadapi penduduk di negeri itu yang tidak mempunyai surat beranak khususnya di kawasan pedalaman.

Tiong King Sing (GPS-Bintulu) berkata isu itu dihadapi ramai orang terutama masyarakat Iban di pedalaman Sarawak, dan satu dasar mesti dirangka untuk menyelesaikannya.