Kedutaan China anggap arahan tutup konsulat di Houston ‘provokasi politik’

(Gambar Reuters)

WASHINGTON: Arahan kerajaan Amerika Syarikat (AS) supaya menutup Konsulat China di Houston disifatkan sebagai “provokasi politik,” serta “tindakan keterlaluan dan tidak adil yang boleh mensabotaj hubungan kedua-dua negara”, lapor agensi berita Xinhua.

“AS tiba-tiba menuntut Konsulat China di Houston menghentikan semua operasi dan dalam waktu yang singkat.

“Ini provokasi politik dibuat secara sepihak oleh AS, melanggar undang-undang antarabangsa, norma asas hubungan antarabangsa dan perjanjian dua hala konsular antara China dan AS,” memetik kenyataan Kedutaan China di AS.

“China mengutuk sekeras-kerasnya dan menentang tindakan yang keterlaluan dan tidak adil untuk mensabotaj hubungan China-AS,” kata kedutaan itu, sambil menambah China komited dengan prinsip tidak campur tangan urusan dalaman negara lain.

Selama bertahun-tahun, misi diplomatik China di AS termasuk Konsulat di Houston, sudah menjalankan tugas selaras dengan Konvensyen Vienna dan komited mempromosikan pertukaran China-AS dan bekerjasama untuk mengukuhkan persefahaman dan jalinan persahabatan.

“Tuduhan AS adalah penipuan tidak berasas sama sekali, dan alasan yang digunakan langsung tidak masuk akal dan tidak dapat diterima. Jika bagi pihak AS ia sebagai usaha untuk menyerang China, itu tidak boleh dijadikan alasan,” kata kenyataan itu.