Kementerian sedia tubuh pasukan khas pantau jualan arak, pemandu mabuk, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Muttalib berkata, kementerian akan mengenal pasti premis khas penjualan arak di kedai runcit dalam usaha mengurangkan kes pemandu mabuk. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan pasukan petugas untuk memantau penjualan alkohol selepas kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk terus meningkat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Muttalib berkata, kes membabitkan individu mabuk, termasuk kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian, terus meningkat sejak 2015.

“Saya yakin oleh kerana kesan pemandu mabuk pelbagai kemalangan berlaku.

“Sebagai contoh, pada 2016 terdapat 161 kes, 2019 139 kes, tetapi dari Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan 150 kes.

“Dari 2016 hingga 2020, terdapat 771 kes pemandu mabuk, sebanyak 44 orang kehilangan nyawa kerana kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

“Saya yakin kerajaan ini serius dan kita akan lihat apakah pandangan yang cukup baik untuk tubuhkan ‘task force’ bagi pastikan pengambilan arak ini diberikan perhatian serius,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang bertanya jika kerajaan bersetuju untuk menubuhkan “special task force” dalam menangani masalah pemandu mabuk seperti digunakan dalam usaha membanteras dadah.

Ismail turut menyatakan persetujuannya dengan cadangan itu memandangkan trend kemalangan akibat pemandu mabuk meningkat sejak 2015.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengenal pasti premis khas penjualan arak di kedai runcit dalam usaha mengurangkan kes pemandu mabuk di negara ini.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk melihat semula penjualan arak di kedai runcit yang lebih banyak memberi kesan negatif dalam kalangan masyarakat dan penduduk.

Katanya, KPKT sudah mengeluarkan surat arahan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memaklumkan kepada kerajaan negeri supaya meningkatkan penguatkuasaan ke atas penjualan arak dan mengekang perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had.

“Lesen di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Bagaimanapun, KPKT berpendangan terdapat keperluan untuk melihat semula isu penjualan arak di kedai runcit kerana ia lebih memberi kesan negatif daripada positif terhadap masyarakat dan penduduk setempat.

“KPKT sudah mengeluarkan surat pada 9 Jun 2020 bagi memaklumkan semua PBT dan kerajaan negeri supaya mengenal pasti premis khas penjualan arak demi meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani kesan negatif minuman arak.

Beliau menjawab soalan Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang bertanya apakah kementerian akan melihat semula isu penjualan arak di kedai runcit kerana ia mempunyai lebih banyak kesan negatif terhadap masyarakat.

Ketika menjawab soalan tambahan Azis tentang langkah KPKT supaya peruncit arak mematuhi peraturan, Ismail berkata, penguatkuasaan akan dipantau oleh PBT yang dipengerusikan pegawai daerah.

“Kuasa bawah kastam juga melibatkan kerajaan negeri dan peringkat daerah mempunyai jawatankuasa khas daerah dipengerusikan oleh pegawai daerah.

“Kita akui mengambil arak ini beri kesan cukup tidak baik pada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.