Keputusan tamat PDP projek Lebuh Raya Pan Borneo dihormati

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan kerajaan terdahulu untuk mengubah kaedah pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, pada awalnya penamatan rakan pelaksana projek (PDP) dijangka akan memberi penjimatan kepada kerajaan sebaliknya terdapat kesan lain.

“Pada awalnya penamatan PDP dijangka akan memberi penjimatan kepada kerajaan khususnya tiada keperluan pembayaran yuran PDP. Bagaimanapun, perubahan model pelaksanaan tersebut tidak mengambil kira perkara berikut yang sedang ditangani oleh kerajaan antara lain kesan ke atas pentadbiran projek, perubahan kontrak, kebajikan kakitangan yang terlibat dan keperluan penambahbaikan kapasiti dan kepakaran teknikal sedia ada.

“Berikutan itu pelan mitigasi dan tindakan susulan berterusan sedang dilaksana bagi menambahbaik kaedah pelaksanaan yang diputuskan sebelum ini bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut.

“Kementerian akan mengkaji kesan penamatan PDP ke atas kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam rantaian projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Beliau menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang meminta menteri menyatakan apakah status terkini pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan apakah justifikasi kerajaan terdahulu membatalkan PDP dan kesan penamatan syarikat PDP itu terhadap pelaksanaan projek.

Dalam perkembangan sama, Fadillah berkata pembatalan PDP menyebabkan 800 pekerja diberhentikan.

“Bila PDP dibatalkan maka sebahagian pekerja 500 orang di Sarawak dan Sabah 300 orang yang diberhentikan dan ada sebahagian mereka diambil bekerja kembali dan kebanyakan mereka tiada perkerjaan sebab tiada yang ambil mereka bekerja, ini memberi kesan kita akan kehilangan pakar yang dilatih sebelum ini,” katanya.

Fadillah turut memaklumkan, secara keseluruhan status perjalanan projek fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sehingga Jun tahun ini adalah 32% bagi 11 pakej kerja yang sedang dilaksanakan.

“Manakala, 3 pakej kerja baru dan 1 pakej kerja melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna yang ditamatkan kontrak kini sedang ditender yang dijangka akan dimuktamadkan tahun ini, menjadikan keseluruhan 15 pakej kerja akan dilaksanakan pada RMK-11.

“Pelaksanaan bagi baki 20 pakej kerja fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah pula tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan untuk RMK-12.

“Bagi fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, 1 pakej kerja iaitu pakej Telok Melano ke Sematan siap sepenuhnya pada Januari 2019. Manakala, status kemajuan pembinaan sehingga Jun tahun ini bagi 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri yang kini sedang giat dilaksanakan adalah 52%,” katanya.