Kumpulan hak asasi gesa Suhakam siasat laporan gangguan terhadap aktivis, pembangkang

Pengurus program Suaram, Dobby Chew (tengah) menyerahkan memorandum kepada pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph.

KUALA LUMPUR: Kumpulan hak asasi, Suaram hari ini mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat laporan berhubung gangguan polis terhadap aktivis dan anggota pembangkang, dengan berkata, hak kebebasan bersuara dan berkumpul dilihat semakin buruk di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Pengurus program Suaram, Dobby Chew berkata, beberapa bulan lepas menyaksikan beberapa orang yang disasarkan melalui siasatan di bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum yang menggesa siasatan terbabit di semak semula di ibu pejabat Suhakam, di sini.

Beliau ditemani aktivis Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), K Sudhagaran Stanley, wartawan South China Morning Post, Tashny Sukumaran dan seorang wakil dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu.

Menurut Chew, sebanyak 41 siasatan dibuat antara Mac hingga awal Julai tahun ini, iaitu 7 di bawah Akta Hasutan, 9 di bawah CMA, 15 di bawah Akta Perhimpunan Aman dan 10 di bawah undang-undang lain.

“Perkara 10 perlembagaan persekutuan menjamin hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

“Amat membimbangkan untuk menyaksikan hak-hak ini dilanggar sejak beberapa bulan lepas dengan pertukaran kerajaan.”

Chew menambah, sebahagian siasatan dibuat berdasarkan alasan yang “tidak masuk akal” yang boleh dianggap sebagai taktik intimidasi untuk mengekang kritikan terhadap kerajaan.

Beliau menyebut contoh iaitu kes siasatan polis terhadap mereka yang terlibat dalam sesi Parlimen maya, Parlimen Digital serta dakwaan menghina terhadap laman Malaysiakini dan ketua pengarangnya.

Beliau juga bercakap mengenai penghunaan siasatan untuk menghalang akhbar daripada melaporkan mengenai kontroversi dasar kerajaan serta mengganggu ahli politik pembangkang seperti ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata, suruhanjaya itu bersetuju untuk menyiasat setiap kes yang disenaraikan oleh Suaram.

“Kami akan memanggil individu yang berkaitan untuk perbincangan dan membantu siasatan,” katanya.