Lesen Finas: PKR gesa Saifuddin Abdullah letak jawatan menteri

Jurucakap PKR bagi komunikasi, seni dan budaya, Fahmi Fadzil berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah perlu meletak jawatan setelah kenyataannya berhubung isu lesen Finas dipertikai banyak pihak.

PETALING JAYA: Jurucakap PKR bagi komunikasi, seni dan budaya, Fahmi Fadzil berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah perlu meletakkan jawatan setelah kenyataannya berhubung isu lesen Finas hari ini dipertikai pelbagai pihak.

Beliau yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Saifuddin sepatutnya menjawab kenyataan terbarunya, terutama niat meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat pagi tadi.

“Ini kerana Dewan Rakyat institusi berfungsi mewujud atau meminda sesebuah akta. Namun ini tidak berlaku pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, Saifuddin berkata, kerajaan PN tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta Finas bagi menyekat kebebasan individu di media sosial susulan kritikan pelbagai pihak, termasuk penggiat seni.

Beliau berkata, sebahagian daripada laporan yang tular berkaitan keperluan lesen Finas untuk perfilemen memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa makna berbeza daripada maksud jawapan.

Fahmi berkata, kenyataan terbaru Saifuddin itu berniat “mencari jalan keluar” untuk meredakan kemarahan pengguna media sosial.

“Paling malang, kenyataan beliau ini sebenarnya masih tidak menyatakan dengan jelas bahawa lesen Finas tidak diperlukan oleh pengguna media sosial di pelantar seperti TikTok, YouTube, dan sebagainya,” katanya.

Fahmi berkata, Saifuddin juga perlu meletak jawatan selepas ‘salah langkah’ sejak dilantik menjadi menteri dengan pelantikan Eric Paulsen ke Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia, tetapi ditarik balik selepas dipertikai pelbagai pihak.

Beliau berkata, Saifuddin juga “tersalah langkah” selepas membatalkan peruntukan spektrum 700MHz, 900MHz, dan 2600MHz selepas dipertikai pelbagai pihak.

Kenyataan Saifuddin di Dewan Rakyat pagi tadi menimbulkan kebimbangan dan dibantah pemimpin pembangkang, yang berkata, syarat lesen Finas itu akan membunuh industri kreatif dan membantutkan penyedia kandungan dalam kalangan anak muda khasnya.

Saifuddin dilaporkan berkata, penggambaran filem memerlukan lesen daripada Finas, termasuk melibatkan individu.

Keperluan itu turut terpakai ke atas mereka yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Youtube dan TikTok.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mempersoalkan adakah lesen Finas diperlukan untuk media sosial atau media tradisional.

Menurut laman sesawang Finas, bagi mendapatkan lesen pembikinan filem dan penggambaran video, pemohon mesti berdaftar sebagai pemilik syarikat Sdn Bhd dan mempunyai modal berbayar tidak kurang daripada RM50,000.

Pada Isnin Finas menimbulkan pertikaian mengenai lesen penerbitan apabila ia berkata, agensi berita satelit AlJazeera tidak mempunyai lesen penerbitan dan tidak memohon lesen akreditasi untuk menerbitkan dokumentari kontroversi saluran 101 East berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan pada 3 Julai lepas.