Masa depan politik Azmin dalam bahaya, kata ketua penerangan BN Selangor

Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor memberi amaran kepada Menteri Kanan (Ekonomi) Mohamed Azmin Ali yang masa depan politiknya berada dalam bahaya kecuali beliau berusaha memperbaiki hubungannya dengan Umno dan PAS.

“Dia nampaknya bermasalah dengan semua orang,” kata ketua penerangan BN Selangor, Isham Jalil kepada FMT.

Mengulas kritikan Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar awal bulan ini berhubung pertemuan diadakan Azmin tanpa wakil Perikatan Nasional, Isham berkata terdapat kekurangan kepercayaan antara beliau dan pimpinan Umno serta PAS Selangor.

Menurut Noh, Menteri Besar Amirudin Shari, yang juga ahli PKR, satu-satunya individu penting dijemput dalam mesyuarat yang membincangkan perkembangan ekonomi Selangor itu.

Isham Jalil

Isham mendakwa, Azmin kehilangan separuh sokongan akar umbi dalam PKR dan PPBM serta kepercayaan pengundi Cina.

Katanya, pengundi Cina tidak akan memilih Azmin dan rakan-rakannya, yang berhijrah daripada Pakatan Harapan, pada pilihan raya akan datang.

“Saya rasa dia ada masalah besar ketika ini,” katanya.

Isham berkata, Azmin perlu berusaha memperbaiki hubungannya dengan Umno dan PAS serta melupakan untuk mendapatkan kembali sokongan ahli PKR.

“Kapal itu sudah belayar,” katanya.

Yang Dipertua PAS Gombak Salehuddin Mohd Nasir turut mengkritik Azmin berhubung pertemuan dengan Amirudin dan menunjukkan keengganan untuk bekerja dengannya. Azmin adalah ahli Parlimen Gombak.

Isham juga bercakap mengenai rancangan bagi pilihan raya umum ke-15, mengatakan Umno Selangor lebih suka bertanding bawah perjanjian Muafakat Nasional dengan PAS.

“Tidak ada perjanjian formal di pihak Perikatan Nasional selain Muafakat Nasional,” katanya.

Mengenai sama ada Umno Selangor boleh bekerjasama dengan PPBM, beliau berkata ia bergantung kepada kesediaan parti itu untuk memperbaiki hubungan dengan Umno.

“Retorik negatif seperti ‘Umno tidak popular, Umno parti yang kalah,’ seperti diucapkan pemimpin PPBM, tidak membantu memperbaiki hubungan dan hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Isham mendakwa tidak ada sokongan akar umbi untuk PPBM dan berkata parti itu memenangi 13 kerusi pada pilihan raya lalu hanya kerana undi Melayu terbahagi antara Umno dan PAS.

“Kali ini, ia tidak lagi akan memiliki kelebihan ini. Orang Cina tidak akan memilih PPBM lagi dan kumpulan kecil orang Melayu yang merupakan penyokong tegar PKR akan meninggalkannya.

“Jika PBM tidak bekerjasama dengan Umno, ia akan bermasalah,” katanya.

Beliau mendakwa, orang Melayu hanya memerlukan Umno dan PAS, 1 untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan 1 lagi untuk memperjuangkan Islam.

Katanya, PPBM perlu mempertimbangkan untuk membubarkan parti itu seperti dilakukan Semangat 46.

Semangat 46 berpecah dari Umno pada 1988 dan dibubarkan pada 1996. Ramai ahlinya bergabung dengan Umno.

“Jika ahli PPBM tidak menyukai Umno, mereka boleh menyertai PAS. Ini jika mereka betul-betul peduli dengan perpaduan Melayu,” katanya.