Saya setia kepada Anwar Ibrahim, kata Adun PKR Sabah

Adun Inanam Kenny Chua berkata, beliau tidak berniat keluar PKR (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Sabah, Kenny Chua menafikan khabar angin beliau berjanji untuk menyokong Perikatan Nasional (PN), di tengah-tengah kemelut yang mendakwa kerajaan negeri itu akan tumbang.

Adun Inanam yang juga naib pengerusi PKR Sabah itu berkata, beliau tidak menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) yang menyokong PN.

“Saya mempunyai SD, tetapi dengan Ketua Menteri Shafie Apdal dan menyokong kerajaan pimpinan Warisan, bukan orang lain.

“Saya setia kepada presiden PKR Anwar Ibrahim dan tiada niat untuk keluar (parti),” kata pembantu menteri kewangan Sabah itu kepada FMT.

Chua berkata, beliau sibuk menjalankan tugas di kawasannya, yang berada di bawah Parlimen Sepanggar sejak semalam dan sukar untuk dihubungi.

Chua adalah antara beberapa nama yang didakwa beralih kepada pembangkang di negeri ini, yang terdiri daripada Umno, PPBM, PBS dan STAR.

Semalam, DAP Sabah mendakwa semua, kecuali seorang wakil rakyatnya, didatangi “ejen politik” yang cuba memujuk mereka supaya melompat parti dengan menjanjikan wang dan jawatan menteri jika PN berkuasa di Sabah.

Beberapa wakil rakyat Warisan juga mendakwa perkara sama antaranya Adun Moyog Jenifer Lasimbang, Anita Baranting (Tandek), Ben Chong (Tanjung Kapor) dan Arunarnsin Taib (Gum-Gum).