Siasatan SPRM kes tanah Kementah masih berjalan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih sedang menyiasat kes pertukaran tanah yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan dan syarikat swasta.

Tanpa memperincikan perkembangan siasatan, Ketua Pesuruhjaya Azam Baki hari ini memaklumkan beberapa kes didapati tiada unsur jenayah, dan terdapat kes di mana pertukaran tanah tidak berlaku.

“Masih terdapat kes yang belum selesai. Buat masa sekarang, saya tidak boleh umumkan sebarang keputusan mengenai kes ini.

“Penyiasat kami akan memanggil beberapa lagi saksi, kerana kami membuka beberapa kertas siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu tahun lepas mendakwa urusan itu menyebabkan kerajaan rugi RM500 juta dan melibatkan syarikat swasta membina berek tentera sebagai ganti kepada tanah milik Kementah.

Kementah membuat laporan kepada SPRM tahun lepas berhubung urusan itu.