Syarat terbaru KKMM jejas industri kreatif, kata ahli Parlimen

Bekas menteri Gobind Singh Deo, Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed abdul Rahman menggesa kerajaan tidak menggunakan undang-undang lapuk pada era moden kini.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang hari ini menyuarakan kebimbangan mengenai syarat terbaru Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bahawa sebarang bentuk penggambaran filem memerlukan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), termasuk rakaman media sosial peribadi.

Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata, sejak isu ini hangat diperkatakan beliau menerima banyak keresahan daripada warga pendidik yang menggunakan platform media sosial sebagai saluran mengajar.

“Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) mereka terpaksa sediakan banyak isi kandungan atau bahan di platform seperti Youtube untuk tujuan mengajar.

“Syarat ini adalah mustahil dan membebankan mereka kerana guru-guru ini perlu mengajar, lebih-lebih lagi masih ada pelajar yang tidak dapat meneruskan kuliah kerana berada di kampung,” katanya ketika mencelah usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang dibahaskan Syed Saddiq Syed Rahman (Bebas-Muar) di Dewan Rakyat hari ini.

“Jika Yang Berhormat (YB) risau dengan anak muda sebagai penghasil kandungan, begitu juga pendidik yang risau dengan perkembangan ini.

“Pembelajaran pasca pandemik Covid-19 ini akan semakin sukar.”

Syed Saddiq kemudian menggesa kementerian itu supaya mengkaji semula kenyataan yang dibuat dan mengeluarkan segera garis panduan yang jelas, khusus untuk penyedia kandungan.

“Sekatan ini akan membunuh industri kreatif dan membantutkan penyedia kandungan kreatif dalam kalangan anak muda. Mereka bukan meraih jutaan ringgit setahun.”

Menteri Saifuddin Abdullah dalam sidang Dewan Rakyat sesi pagi menjelaskan bahawa penggambaran filem memerlukan lesen daripada Finas.

Keperluan itu turut terpakai ke atas mereka yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Youtube dan TikTok.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mempersoalkan adakah lesen Finas diperlukan untuk media sosial atau media tradisional.

Menurut laman sesawang Finas, bagi mendapatkan lesen pembikinan filem dan penggambaran video, pemohon mesti berdaftar sebagai pemilik syarikat Sdn Bhd dan mempunyai modal berbayar tidak kurang daripada RM50,000.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Gobind Deo yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia berkata, keputusan agresif itu memberi kesan kepada kebebasan media secara tidak langsung.

“Adalah tidak praktikal untuk mensyaratkan semua pengguna media sosial mematuhi Seksyen 21 dan 22 Akta Finas (1981).

“Dia (Saifuddin) harus melihat ketentuan itu dengan teliti, realistik dan praktikal sesuai dengan teknologi dan landskap media masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Isnin Finas menimbulkan pertikaian mengenai lesen penerbitan apabila ia berkata, agensi berita satelit AlJazeera tidak mempunyai lesen penerbitan dan tidak memohon lesen akreditasi untuk menerbitkan dokumentari kontroversi saluran 101 East berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan pada 3 Julai lepas.