Wakil rakyat Sabah ditawar habuan sertai PN, kata ahli Parlimen Warisan

Ahli Parlimen Sepanggar mewakili Warisan Mohd Azis Jamman berkata, kerajaan Sabah tidak akan tumbang walaupun terdapat usaha untuk memujuk wakil rakyat di negeri itu supaya melompat parti.

KUALA LUMPUR: Wakil Warisan mendakwa wujud usaha membeli wakil rakyat di Sabah supaya menyertai blok kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat.

Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) berkata, wakil kerajaan juga mengarahkan “ejen” untuk memujuk wakil rakyat di Sabah yang diterajui Warisan supaya meninggalkan parti itu.

Katanya, wakil rakyat terbabit bukan saja cuba dirasuah supaya “melompat parti”, sebaliknya turut diganggu.

“Masih terdapat tekanan yang memaksa pemimpin di Sabah untuk beralih arah. Malah ada ejen yang dikerah memujuk wakil rakyat di Sabah dengan mengemukakan tawaran, dengan harapan wakil rakyat melompat (parti).

“Semalam, saya menemani sahabat saya YB Kota Belud membuat laporan polis berkenaan seorang individu yang sering kali menghantar mesej WhatsApp kepada YB Kota Belud dengan cubaan tawaran tertentu supaya menukar sokongan kepada PN,” katanya sambil meminta menteri dalam negeri melakukan siasatan ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam ucapannya, Azis turut membaca pesanan teks dalam bahasa Inggeris yang dihantar kepada ahli Parlimen Kota Belud itu yang menyebut: “Saya telah diarahkan oleh nombor 1 untuk berhubung dengan anda. Boleh kita bercakap? Saya ada tawaran”.

“YB, Sabah akan bertukar tangan. Jangan lepaskan peluang keemasan. Terima tawaran saya hari ini, saya di Kuala Lumpur.”

Beliau turut mendakwa, ada wakil rakyat di negeri itu didatangi individu hingga jam 4 pagi untuk dipujuk keluar parti.

“Tawaran demi tawaran diberikan, mengajak mereka berpaling tadah, sejumlah wang diberikan.

“Malah mereka memaklumkan kepada saya, entah betul entah tidak, kononnya ada anggota polis dikerah untuk memujuk dan memberi tekanan dan saya harap perkara ini tidak benar.

“Saya yakin kredibiliti polis sebagai agensi menjaga keselamatan bukan jentera politik. Saya harap menteri KDN mengambil tindakan tegas terhadap laporan polis yang dibuat wakil rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Alamin (BN-Kimanis) kemudian bangkit mencelah meminta Azis tidak membangkitkan isu yang tidak jelas kerana ia boleh mengelirukan Dewan Rakyat.

“Saya sebut entah betul atau tidak, jadi saya minta menteri KDN menyiasat,” jawab Azis.

Timbalan speaker Azalina Othman kemudian meminta Alamin duduk sambil memaklumkan pihak kerajaan akan menjawab dan isu itu tidak dibangkitkan lagi oleh Azis.

Sebelum meneruskan ucapannya, Aziz berkata, beliau yakin kerajaan Sabah pimpinan Warisan tidak akan tumbang.

“Kerajaan Sabah tidak akan ditumbang dengan cara tidak demokratik kerana Sabah tidak ada Hotel Sheraton,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Azis dalam ucapannya sekali lagi membidas ahli Parlimen Kimanis dengan menyifatkan beliau seorang yang khianat apabila secara terbuka meminta Putrajaya “mengambil kekayaan” Sabah.

“Saya sebenarnya amat terkejut bila mendengar perbahasan ucapan titah Diraja sahabat saya Kimanis bila beliau menyentuh tentang sumber alam semula jadi di Sabah.

“Beliau menyatakan bahawa Sabah adalah sebuah negeri kaya, benar Sabah adalah negeri yang kaya dengan alam semulajadinya seperti minyak dan lain-lain.

“Malah, beliau mengalu-alukan kerajaan pusat untuk terus meneroka sumber kekayaan negeri Sabah.

“Beliau bagi tahu ambillah kekayaan Sabah ini, tetapi kembalikan hak kami. Soal kembali hak Sabah saya setuju, tetapi mengalu-alukan kerajaan pusat meneroka dan mengambil hasil kekayaan Sabah itu pengkhianatan,” katanya.

Berang dengan tuduhan itu, Alamin sekali lagi bangkit mencelah bagi menjawab tuduhan Azis sambil mendakwa ucapannya cuba dimanipulasi kerana bukan itu yang dimaksudkan.

“Tidak adil buat tuduhan begitu, bukan itu maksud saya,” katanya.

Azalina kemudian memaklumkan supaya Alamin tidak mengganggu kerana giliran Azis berucap.

“Sepanggar tidak bagi laluan duduk, YB (Kimanis) nak menjawab boleh jawab di luar, ini giliran Sepanggar, kalau Sepanggar cakap benda tak benar boleh saman beliau, selesai di luar,” kata Azalina.

Alamin akur dengan arahan speaker dan mencabar Azis mengulangi tuduhan itu di luar Dewan Rakyat.

“Saya hormati keputusan speaker, saya cabar Kimanis ulang di luar tentang tuduhan ke atas saya,” katanya.