21 kes baru Covid-19, 3 pesakit sembuh

PUTRAJAYA: 21 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, berbanding 9 kes dicatatkan semalam, manakala 3 pesakit disahkan sembuh.

Jumlah kematian kekal 123 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, 5 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 2 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 8,861 kes Covid-19 dengan 8,577 daripadanya sembuh.

161 pesakit kini dirawat di hospital seluruh negara.

Noor Hisham berkata, daripada 21 kes baru hari ini, 5 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan 3 warganegara Malaysia dan 2 bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk atas urusan kerja.

“Lima kes import itu adalah dari Singapura (1 kes), Australia (1 kes), Filipina (1 kes), Pakistan (1 kes) dan Qatar (1 kes),” katanya.

Tambah Noor Hisham, daripada 16 kes penularan dalam negara, 13 kemelibatkan warganegara Malaysia, manakala 3 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

“Kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara adalah 1 kes di Johor, iaitu kes daripada kluster Warga Emas Kluang, manakala 2 kes di Pahang daripada kluster Elsa,” katanya.

Bagi kes melibatkan warganegara, 2 kes dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur daripada kluster PUI Ramnad. Manakala 1 kes daripada kluster PUI Al Khobar.

“Bukan itu sahaja, 1 kes daripada kluster Warga Emas Kluang, 1 kes daripada kluster Elsa dan 8 kes di Sarawak, iaitu daripada kluster Sentosa,” katanya.