Bekas bos FGV Holdings umum keluar Amanah, sertai Umno

Bekas ketua pegawai eksekutif FGV Holdings Zakaria Arshad. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif FGV Holdings Bhd, Zakaria Arshad membuat keputusan untuk menyertai Umno dan mengumumkan keluar daripada Amanah.

Zakaria berkata, keputusan keluar Amanah itu dibuat selepas melihat visi dan objektif parti diketuai Mohamad Sabu itu tersasar dan tidak selari dengan pendiriannya pada ketika ini.

“Selepas memberi pertimbangan, saya percaya Umno yang merupakan komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah platform terbaik untuk saya memberikan sumbangan kecil kepada masyarakat dan negara khususnya.

“Maka dengan ini saya mengumumkan untuk keluar dari Amanah dan seterusnya menyertai Umno sebagai ahli,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian, hari ini.

Dalam satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), borang keahlian Zakaria itu diserahkan kepada ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Jazlan berkata, penyertaan Zakaria itu diyakini akan memperkukuhkan lagi parti, berdasarkan pengalaman Zakaria dalam pelbagai bidang sebelum ini.

“Kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang hendak bersama Umno. Kalau hendak memperkuatkan parti, kita mestilah bersikap terbuka menerima sesiapa sahaja.

“Parti kita akan kuat bila kita diyakini orang ramai dan rakyat. Dengan sikap terbuka akan menjadikan orang kembali kepada Umno,” katanya.