Dua beranak ditahan bawa 2 warga Myanmar tanpa dokumen sah

Polis berkata, siasatan awal mendapati 2 beranak yang ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Pari, Baling menerima upah untuk menghantar 2 lelaki Myanmar ke Kampung Lamdin, Kuala Nerang, Kedah.

ALOR SETAR: Seorang peniaga kedai makanan dan anak lelakinya bersama 2 lelaki warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Pari dekat Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki berumur 54 tahun itu bersama anaknya yang berumur 26 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Kepong, Kuala Lumpur untuk menghantar 2 warga Myanmar itu ke Kampung Lamdin, Kuala Nerang.

“Pada pukul 7.25 malam semasa menjalankan sekatan jalan raya di Jalan Tanjung Pari, pihak polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dinaiki 4 lelaki.

“Kenderaan itu dipandu oleh lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengurus di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan mendapati dia bersama bapanya mahu menghantar 2 lelaki Myanmar yang berumur 20 dan 33 tahun ke Kampung Lamdin, Kuala Nerang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal juga mendapati pemandu itu menerima upah daripada pihak lain untuk menghantar 2 lelaki Myanmar itu ke lokasi berkenaan.

“Pemandu berkenaan dikatakan tidak tahu tujuan sebenar 2 lelaki Myanmar itu dan dipercayai ada orang lain yang akan mengambil mereka di lokasi yang dihantar untuk dibawa ke sempadan Kedah-Thailand,” katanya.

Syed Basri berkata, 2 beranak itu yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau ditahan reman selama 28 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.