Goldman Sachs setuju bayar AS$3.9 bilion penyelesaian tuntutan tertunggak 1MDB

Kementerian Kewangan berkata dengan jumlah penyelesaian itu dan wang yang diterima daripada Jabatan Kehakiman AS, lebih AS$4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia. (Gambar Bloomberg)

KUALA LUMPUR: Goldman Sachs Group Inc bersetuju membayar sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) sebagai penyelesaian tuntutan tertunggak berkaitan dengan 3 urus niaga bon yang disusun oleh bank antarabangsa itu untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, dengan jumlah penyelesaian itu dan wang yang diterima daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, lebih AS$4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

“Sehubungan itu, kerajaan terus komited untuk mendapatkan semula aset lain yang masih belum dikembalikan,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.