Kemenangan terjamin jika PPBM, Umno, PAS berganding, kata penganalisis

Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff berkata PPBM akan lebih mudah bergabung dengan Muafakat Nasional jika dibandingkan Umno dan PAS bergabung dengan Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: Dua orang penganalisis politik bersetuju kemenangan pilihan raya yang meyakinkan akan terjamin buat Umno, PPBM dan PAS sekiranya mereka berganding.

Namun, kedua-duanya memberitahu FMT keadaan semasa tidak memberi keyakinan suatu barisan yang bersatu boleh berlaku dalam masa terdekat.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia dan Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata terdapat banyak perselisihan antara PPBM dengan Umno dan PAS.

“Masalahnya ialah beberapa segmen dalam Umno dan PAS merasakan PPBM cuba mendominasi dan menjadi abang besar,” kata Kamarul.

Kamarul Zaman Yusoff

“Hakikatnya tiada parti boleh peroleh kemenangan yang meyakinkan secara bersendirian.”

Katanya, penyelesaian untuk masalah itu terletak pada kesediaan PPBM untuk meredakan retoriknya dan bersetuju sertai pakatan Umno-PAS, Muafakat Nasional.

Tambahnya, itu akan lebih mudah dilaksanakan berbanding cuba mendapatkan Umno dan PAS bergabung dengan Perikatan Nasional (PN).

“PPBM perlu terima kenyataan bahawa ia tidak dapat mendominasi politik biarpun Muhyiddin Yassin ketika ini memimpin negara.”

Kamarul berkata Muhyiddin kemungkinan akan menjadi pemimpin kepada gabungan ketiga-tiga parti itu.

Prospek kemenangan pilihan raya untuk barisan sedemikian sangat bagus kerana pembangkang sekarang berpecah, dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta penyokong masing-masing bertentangan.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang melibatkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan juga akan beri kesan kepada pakatan pembangkang dan saya meramalkan lebih banyak ahli Parlimen akan sertai PN,” tambahnya.

Sementara itu, Awang Azman yakin pemimpin Umno seperti Presiden Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak lebih cenderung kepada Muafakat Nasional.

“Tapi tentunya, jika PN bertanding PRU-15 sebagai satu pasukan, undi orang Melayu tidak akan berpecah dan akan menang lebih dari cukup untuk membentuk kerajaan, walaupun majoriti 2/3 dilihat sukar.”

Namun, katanya, sukar bagi akar umbi Umno dan PAS untuk menerima PPBM kerana permusuhan menjelang PRU lepas.

“Kecuali jika PPBM kembali kepada Umno seperti Semangat 46 sebelum ini, pergaduhan tidak akan berhenti,” katanya.

Tambahnya, Umno menunjukkan mereka sedia berkompromi dengan parti kecil hanya apabila mereka berdepan masalah dan tiada banyak pilihan.

“Sudah pasti pemimpin akar umbi Umno akan tekan pimpinan tertinggi untuk mendapat lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang,” katanya.