Lelaki Bangladesh ditemubual Al Jazeera ditahan imigresen

Rayhan Kabir

PETALING JAYA: Lelaki warganegara Bangladesh yang ditemubual media antarabangsa Al Jazeera dalam dokumentari kontroversi tentang pendatang asing sudah ditahan imigresen.

Penahanan Md Rayhan Kabir, 25, disahkan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Memetik laporan Harian Metro, Md Rayhan dikatakan ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur hasil risikan imigresen.

Rayhan menjadi sasaran pihak berkuasa selepas dia muncul dalam episod program 101 East terbitan Al Jazeera tentang dakwaan penganiayaan terhadap pendatang asing semasa tempoh kawalan baru-baru ini.

Polis kemudian menyiasat saluran berita yang berpangkalan di Qatar itu kerana menghasut.

Gambar Rayhan disiarkan beberapa laman berita bersama butiran pasport Bangladeshnya yang didedahkan imigresen kepada media.

Pihak berkuasa berkata, Rayhan dikehendaki untuk siasatan bawah Akta Imigresen.

Ratusan pekerja asing ditahan di Kuala Lumpur ketika pelaksanaan PKP dan mereka kemudiannya ditempatkan di pusat tahanan imigresen.

Kerajaan dilaporkan berkata, langkah itu perlu untuk mengurangkan risiko Covid-19 dalam kalangan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di pusat tahanan membawa kepada dakwaan bahawa tahanan ditempatkan dalam persekitaran yang sesak. Dakwaan itu ditepis Putrajaya.