Mitos susu payudara kanan ‘nasi’ manakala kiri pula ‘air’

Kedua-dua payudara menghasilkan komposisi yang sama, iaitu kedua-dua payudara menghasilkan Foremilk dan Hindmilk.

Tidak dapat disangkal lagi, susu ibu merupakan makanan pertama bayi yang terbaik untuk mereka.

Khasiatnya dapat memberikan kandungan nutrien yang cukup untuk bayi membesar dengan sihat.

Namun, berdasarkan perkongsian Pembimbing Penyusuan, Nor Azura ada dalam kalangan ibu yang mengatakan teknik yang betul untuk menyusu bayi adalah dengan menukar bahagian payudara semasa sedang menyusu bayi untuk mendapatkan nutrien yang secukupnya. Betul ke?

Sudah pasti, rata-rata ibu pernah dengar pesanan ini: “Kalau susukan anak, kena bagi dua-dua belah sekali. Kanan tu nasi, kiri tu air. Kesian budak dah makan nasi tak minum air, tercekik nanti”

atau

“Susukan bayi pada payudara kanan dahulu baru kiri, kanan tu makanan kiri tu air.”

Inilah ayat-ayat yang sering diperkatakan oleh orang tua-tua atau sesiapa sahaja yang masih percaya dengan pesanan ini yang dianggap sudah turun-temurun.

Bagaimanapun pesanan ini tidak tepat dan ia mitos semata-mata.

Untuk pengetahuan semua, apabila bayi mula menyusu, susu yang keluar pada awalnya ialah “Foremilk” atau dikenali sebagai susu awalan yang cair.

Bagaimanapun di penghujung penyusuan, ia keluar sebagai “Hindmilk” atau susu akhiran dan ia lebih pekat.

Foremilk dan Hindmilk, kedua-duanya diperlukan seorang bayi walaupun Hindmilk kelihatan lebih pekat, tapi bayi juga perlukan Foremilk untuk perkembangannya.

Sehubungan itu ibu tidak digalakkan untuk menukar payudara tanpa tunggu bayi selesai, memandangkan bayi hanya akan dapat Foremilk sahaja.

Hindmilk pula kemungkinan bayi dapat kurang atau tak dapat langsung.

Hindmilk ini mengandungi lemak yang membantu untuk kenaikan berat bayi.

Jadi kalau dapat kurang, maka kuranglah kenaikan berat bayi.

Sebab itu cara ini dikatakan tidak tepat dan ia mitos kerana kedua-dua payudara menghasilkan komposisi yang sama, iaitu kedua-dua payudara menghasilkan Foremilk dan Hindmilk.

Jadi sebaiknya susukan bayi dengan satu payudara hingga dia selesai, jika bayi mahu lagi atau payudara dah soft barulah tukar ke satu lagi dan susukan bayi dengan kerap.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]